‘Angkat’ Tok Mat jadi PM abai kebajikan penduduk Rantau, kata Rafizi

‘Angkat’ Tok Mat jadi PM abai kebajikan penduduk Rantau, kata Rafizi

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berpendapat usaha mengangkat Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan ke jawatan Perdana Menteri (PM) akan mengabaikan kebajikan penduduk kawasan itu.

Menurutnya, dakwaan Mohamad lebih menumpukan minat untuk menjadi PM berbanding melakukan tugasnya sebagai wakil rakyat di Rantau sedang diperkatakan dalam kalangan ahli Umno dan Pas.

“Sekiranya perkara itu (Mohamad jadi PM) berlaku, Rantau ini tidak akan jadi keutamaan yang akhirnya akan ditinggalkan kepada pegawainya.

“Ini realiti yang perlu dipertimbangkan pengundi di Rantau,” katanya kepada pemberita dalam program ceramah Pakatan Harapan (PH) sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau malam tadi.

Mengulas lanjut, Rafizi menganggap dakwaan Mohamad yang mesra dipanggil Tok Mat itu bakal menjadi PM jika BN kembali mentadbir negara tentu ada asasnya.

“Walaupun beliau menafikannya, perkara ini sering dikatakan dalam kalangan ahli UNMO dan PAS.

“Sudah tentu pokok tidak akan bergoyang kalau tiada angin atau orang goncang,” ujarnya lagi.

Mohamad yang menjadi calon BN bagi PRK Dun Rantau berentap dengan calon PH, Dr. S. Streram serta dua lagi calon Bebas iaitu, suri rumah, R. Malarvizhi, 51 dan bekas pensyarah, Mohd. Nor Yassin, 67.