Malaysia Dateline

Anifah Aman gagal tangguh keputusan mahkamah berhubung kerusi Parlimen Kimanis

Bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman hari ini gagal untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan kemenangannya di kerusi Parlimen Kimanis pada pilihan raya umum lepas, sementara menunggu pendengaran permohonannya bagi semakan.

Panel lima anggota Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Datuk Mohd Zawawi Salleh, sebulat suara menolak permohonan Anifah selepas mendapati tiada keadaan istimewa untuk mahkamah membenarkan penangguhan.

“Kami telah pertimbangkan hujahan dikemukakan oleh kedua-dua pihak. Kami berpandangan  tiada keadaan istimewa untuk kami melaksanakan budi bicara kami untuk membenarkan penangguhan. Oleh itu, kami menolak permohonan (penangguhan) dengan kos,” kata Hakim Mohd Nawawi.

Beliau turut memerintahkan Anifah  untuk membayar kos RM30,000 masing-masing kepada tiga responden iaitu calon Parti Warisan Sabah Datuk Karim Bujang, pegawai pilihan raya bagi kerusi Parlimen Kimanis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Hakim  Mohd Zawawi yang bersidang bersama-sama Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Abdul Rahman Sebli, Datuk Zaleha Yusof dan Datuk Zabariah Mohd Yusof bagi mendengar permohonan penangguhan itu, menetapkan 3 Jan untuk mendengar permohonan semakan.

Beliau turut memerintahkan semua pihak untuk memfailkan hujahan bertulis masing-masing.

Anifah memohon untuk menyemak semula keputusan dibuat satu lagi panel Mahkamah Persekutuan pada 2 Dis yang menolak rayuannya untuk membatalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya, yang menyebabkan pilihan raya kecil (PRK) diadakan bagi kawasan itu.

PRK Parlimen Kimanis dijadual pada 18 Jan dan penamaan calon ditetapkan pada 4 Jan.

Terdahulu, peguam Tengku Fuad Tengku Ahmad yang mewakili Anifah berhujah anak guamnya memohon Mahkamah Persekutuan menangguhkan perintah itu sementara menunggu pendengaran permohonan semakannya.

“Kami bukan memohon Suruhanjaya Pilihan Raya untuk berhenti daripada menjalankan tugasnya bagi mengadakan pilihan raya kecil di bawah Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Peguam  Frederick Chang Tyn Chi bagi pihak Karim pula berhujah bahawa Mahkamah Persekutuan tidak mempunyai budi bicara untuk membenarkan penangguhan kerana rayuan terhadap petisyen pilihan raya  telah diputuskan oleh satu lagi panel Mahkamah Persekutuan sebelum ini.

“Sekiranya penangguhan dibenarkan, ia akan menghalang SPR daripada menjalankan tugasnya mengadakan pilihan raya kecil,” katanya.

Lagipun, hujahnya Anifah bukan lagi seorang Ahli Parlimen selepas 10 Dis berikutan kerusi itu telah diisytiharkan kosong susulan keputusan dibuat Mahkamah Persekutuan.

Mahkamah Pilihan Raya pada 16 Ogos tahun ini, mengisytiharkan kemenangan Anifah di kerusi Kimanis di Sabah pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) adalah batal dan tidak sah.

Anifah, telah menang di kerusi itu dengan majoriti 156 undi, apabila meraih 11,942 undi berbanding Karim yang mendapat 11,786 undi manakala seorang lagi calon, Jaafar Ismail daripada Parti Harapan Rakyat Sabah, mendapat 1,300 undi.

Karim memfailkan petisyen pilihan raya pada 18 Jun tahun lepas untuk mencabar keputusan pilihan raya itu.

Pada 18 Feb tahun ini, Mahkamah Persekutuan merujuk kembali petisyen pilihan raya Karim ke Mahkamah Pilihan Raya untuk perbicaraan selepas membenarkan rayuannya untuk membatalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya sebelum itu yang menolak petisyennya (Karim).

Pada 19 Nov, 2018, Hakim Mahkamah Pilihan Raya Supang Lian membatalkan petisyen pilihan raya Karim.

Selepas itu, perkara berkenaan dikembalikan semula untuk perbicaraan di hadapan seorang lagi Hakim Mahkamah Pilihan Raya Lee Heng Chung yang kemudiannya membatalkan keputusan bagi kawasan itu, memutuskan kehadiran kertas undi tambahan telah mempengaruhi keputusan pilihan raya.– BERNAMA