Malaysia Dateline

Animasi tempatan kini bertaraf dunia, kata Mahathir

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan karya animasi tempatan yang dihasilkan kini bertaraf dunia.

Katanya rakyat Malaysia boleh berbangga dengan pencapaian tersebut yang dihasilkan sendiri atas usaha penggiat seni animasi negara yang berbakat besar.

“(Karya animasi tempatan) Tidak nampak seperti dibuat di Malaysia. Nampak setaraf dengan teknologi dunia dan kita boleh berbangga kerana kita boleh keluar filem animasi yang setakat ini teknologi yang tinggi.

“Saya berpendapat bahawa ramai daripada orang kita cekap dalam buat lukisan dan animasi bermula dengan lukisan, karakter dan sebagainya dan untuk membuat cerita tak begitu mudah tambah pula kena ada ‘background’ muzik.

“Saya nampak yang ini semuanya lengkap. Daripada segi cerita, teknologi, muzik dan saya fikir ini boleh kata ‘world standard’,” katanya selepas menonton tayangan filem animasi ‘Ejen Ali The Movie’ malam tadi.  Beliau diiringi isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Sebelum ini media melaporkan filem animasi Ejen Ali The Movie memungut RM13 juta selepas tujuh hari tayangan di 162 pawagam di Malaysia, Singapura dan Brunei.

Ejen Ali The Movie turut mengungguli tempat pertama dalam carta filem pecah panggung tempatan dengan kutipan melebihi RM1.8 juta, pada hari pertama tayangan, 28 Nov lepas.

Filem terbitan Primeworks Studios dan Wau Animation itu mengisahkan Ali, budak berusia 12 tahun yang direkrut menjadi penyiasat bagi sebuah agensi perisikan dikenali sebagai Meta Advance Tactical Agency (MATA) dan Ali juga ditugaskan melindungi kota futuristik Cyberaya daripada ancaman luar.