Anina nyatakan hasrat  kembali sertai Umno

Anina nyatakan hasrat kembali sertai Umno

Bekas Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Anina Saadudin menyatakan hasratnya mahu kembali kepada Umno dan akan berjuang bersama parti itu sebagai seorang pejuang.

Beliau yang menjadi ahli Umno selama 22 tahun dari 1993 hingga 2015 berkata, tempoh hukuman penggantungan keahliannya selama tiga tahun selepas dipecat dari parti pada September 2015, sudah berakhir.

“Kepada semua ahli Umno yang saya hormati, saya ahli Umno selama 22 tahun sejak 1993 hingga 2015. Tempoh 3 tahun telah berakhir sebagai hukuman kerana membawa isu parti ke Mahkamah Tinggi pada Ogos 2018.

“Saya mahu kembali kepada Umno dan saya mahu berjuang bersama seorang pejuang.

“Semoga Allah makbulkan doa saya untuk menebus dosa yang hanya akan saya lupakan setelah UMNO kembali bangkit memerintah tanah pusaka bangsa,” ujarnya dalam kenyataan di facebooknya hari ini.

Anina yang kini Presiden Empirical Malaysia berkata, beliau tidak marah kepada pihak yang selama ini memaki hamunnya kerana keputusan yang dibuatnya keluar Bersatu dan menyokong kembali Umno.

“Saya tidak marah dimaki hamun kerana itu dosa saya. Tapi misi yang terpenting dalam hidup saya kini, hanya satu, saya akan perangi Pakatan Harapan (PH) hingga dendam terindah terbayar dengan kebangkitan bangsa,” katanya.

Kata Anina lagi, beliau ada berjumpa dengan bekas presiden Umno Datuk Seri Mohd Najib Razak pada Isnin, di Langkawi untuk menyatakan pilihannya dan bekas perdana menteri itu menasihatinya agar membuat pilihan sendiri.

“Saya berjumpa Datuk Seri Najib Razak pada Aidilfitri ketiga di Langkawi dan menyatakan pilihan saya. Datuk Seri Najib nasihati saya dengan berkata beliau percaya saya tahu membuat pilihan sendiri,” katanya.

Sebagai rekod Umno melucutkan keahlian Anina yang ketika itu ahli Pergerakan Wanita Umno Cawangan Padang Matsirat, Langkawi pada 1 September 2015 kerana tindakannya memfailkan saman terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak yang ketika itu perdana menteri.

CATEGORIES
TAGS