Anina sudah tekan ‘butang kunci’, sedia dipecat jika ada bukti sahih cemar imej parti

Anina sudah tekan ‘butang kunci’, sedia dipecat jika ada bukti sahih cemar imej parti

Anina Saadudin hari ini mendakwa terdapat percanggahan kenyataan beberapa pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mengugurkannya sebagai ketua srikandi parti itu Disember lalu.

Anina Saadudin hari ini mendakwa terdapat percanggahan kenyataan beberapa pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mengugurkannya sebagai ketua srikandi parti itu Disember lalu.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi ini berkata, Bersatu telah memberikan layanan kurang baik terhadapnya sejak beliau mula aktif menganggotai parti sebagai ahli sehingga  majlis angkat sumpah sebagai Ketua Srikandi pada 2 November 2016 lalu.

” Kini saya bukan lagi Ketua Srikandi. Ketika saya berjumpa Tun M, saya katakan kepada beliau bahawa ianya bukan tentang jawatan. Jika ianya kerana jawatan dan wang, saya tidak akan berdiri di hadapan rakyat pada hari ini menentang manusia paling berkuasa di Malaysia.

“Tetapi saya merasakan bahawa parti telah melayan saya dengan kurang bijak,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Anina mendakwa, terdapat empat percanggahan dalam kenyataan pemimpin PPBM membabitkan Presiden,Timbalan, Setiausaha Agung dan Ketua Penerangan parti itu.

“DSMM (Datuk Seri Mukhriz Mahathir) menyatakan saya tidak disyorkan untuk menjadi Ketua Srikandi kerana isu peribadi yang menjejaskan imej parti.

“Setiausaha Agong (Datuk Dr Shahruddin Md Salleh) menyatakan bahawa angkat sumpah jawatan Ketua Srikandi PPBM pada 2 November adalah kesalahan teknikal.

“Ketua Penerangan (Datuk Kamarudin Md Nor) membuat kenyataan bahawa saya tidak pernah dilantik sebagai Ketua Srikandi sejak awal lagi.

” TSMY (Tan Sri Muhyiddin Yassin-Presiden) membuat kenyataan terakhir minggu lalu bahawa saya tidak mencapai prestasi seperti yang diharapkan

” Saya sedia dipecat dari parti sekiranya benar ada bukti sahih dan kukuh yang telah mencemarkan imej parti atas dakwaan skandal seks yang menjadi tular di laman sosial.

“Saya mengesyorkan supaya saya dipecat dari parti.

“Di manakah kesilapan teknikal yang dimaksudkan oleh SUA? Jika ianya terletak pada watikah angkat sumpah jawatan pada 2 November 2016 yang lalu, mungkin SUA boleh menyemak kembali watikah “original”. Beliau baru kembali dari Mekah, sudah pasti beliau akan bercakap benar.

“Jika saya tidak pernah dilantik sebagai Ketua Srikandi, adakah TSMY dan DSMM telah melakukan kesilapan setiap kali menyebut nama saya sebagai Ketua Srikandi dalam ucapan serta ceramah di seluruh negara?

“Kamaruddin Mat Nor mungkin tidak sesuai memegang jawatan Ketua Penerangan jika gagal bercakap dengan tepat. Mungkin beliau tidak banyak tahu sejarah PPBM kerana baru muncul setelah ditawarkan jawatan tersebut.

“Saya telah mengangkat sumpah pada 2 November 2016 dan menyerahkan cadangan barisan kepimpinan Srikandi Pusat dan Negeri pada 17 November 2016 namun Presiden tidak membuat sebarang tindakan terhadap fail tersebut.

“Saya telah mengatur pertemuan dengan hampir kesemua Srikandi di negeri-negeri seluruh Semenanjung dan ianya dilakukan dalam tempoh 100 hari tanpa sesen pun peruntukan dari PPBM. Mungkin KPI nya dirahsiakan dari saya,” ujarnya.

Justeru katanya lagi, beliau membuat kenyataan ini bukan kerana mahu mempertahankan jawatan ketua srikandi sebaliknya berjuang untuk mempertahankan maruahnya, sebelum beliau berjuang untuk negara.

“Saya memilih untuk bercakap bagi pihak diri saya sendiri kerana jika bukan saya, siapa lagi yang akan bercakap bagi pihak saya.

“Persoalan tentang adakah saya akan bersama MPT PPBM dan mengekalkan keahlian dalam PPBM,  saya jawab selepas saya memikirkan dengan mendalam segala nasihat yang diberikan oleh Tun Mahathir dan Tun Daim dalam siri pertemuan hati ke hati baru-baru ini. Namun apa yang ingin saya ulangi kepada rakyat, komitmen saya dalam memerangi kleptokrasi TIDAK akan berhenti di sini.

“Dengan itu, saya tegaskan bahawa saya tidak akan kembali kepada Umno seperti fitnah yang disebar sebelum ini. Sekali lagi saya memilih untuk menolak duniawi,” ujar bekas ahli Umno Wanita Langkawi ini.

Anina dalam satu kenyataan pada Disember mencabar pihak yang menaburkan fitnah ke atasnya untuk menekan “butag kunci” yang akan menghancurkan semua, sebaliknya kenyataannya itu ramai meramalkan beliau akan meninggalkan Bersatu dan kembali menyertai Umno.

“Sukalah saya untuk menegaskan bahawa antara kegagalan politik di Malaysia apabila ahli politik gagal mentafsir bahasa anak muda.

“Hari ini saya tekankan butang kuncinya dan terlepaslah segala yang terbuku di hati. Fahami, selami dan jiwailah bahasa dan maksud perjuangan seorang wanita yang mewakili golongan muda yang mahukan perubahan segera pada lanskap politik negara.

“Jangan takut pada bayang-bayang sendiri dan mentafsir bahasa anak muda mengikut selera orang lama,” tegasya.

Artikel Berkaitan: Jika saya tekan butang kunci, ledakkan pasti hancurkan semua, kata Anina

 

TAGS