Anina tarik tiga saman terhadap Najib, terus berjuang di pentas Bersatu

Anina tarik tiga saman terhadap Najib, terus berjuang di pentas Bersatu

 

Bekas ahli Umno bahagian Langkawi Anina Saadudin menarik balik tiga daripada empat tindakan undang-undang atas kapasiti beliau sebagai ahli parti itu yang berlangsung di mahkamah  sejak setahun lalu.

 Tiga tindakan undang-undang itu antaranya kes yang telah difailkan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak berhubung pengembalian wang derma RM2.6 bilion pada Umno yang mana tarikh sebutan kes akan diadakan pada 26 September ini di Mahkamah Rayuan.

Selain kes pemecatan beliau sebagai ahli Umno dalam permohonan kebenaran merayu ke mahkamah Persekutuan yang ditetapkan pada 14 September.

Terakhir membabitkan kes di Mahkamah Tinggi yang baru difailkan selepas keputusan Mahkamah Rayuan berhubung rayuannya  terhadap pemecatan tersebut iaitu permohonan deklarasi membatalkan kesahihan seksyen 18(c) Akta Pertubuhan pada 10 Oktober ini untuk permohonan pihak responden membatalkan permohonan tersebut.

Bagaimanapun Aninah mengekalkan saman yang difailkan bersama-sama bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas naib ketua Umno bahagian Batu Kawan, Datuk  Seri Khairuddin Abu Hassan terhadap Najib bagi pelanggaran kewajipan fidusiari akan diteruskan.

Dalam sidang akhbar diadakan, Anina berkata, keputusan untuk menarik balik tindakan undang-undang yang dibuatnya ekoran kini beliau mempunyai pentas baru dalam parti Bersatu untuk meneruskan perjuangan.

“Saya sekarang dengan Bersatu, perjuangan (Umno) tu dah tak relevan. Perjuangan yang lebih penting adalah untuk menjatuhkan Najib daripada kerusi Perdana Menteri.

“Saya sedang bersiap sedia untuk meneruskan perjuangan yang lebih besar bersama Bersatu,

“Satu lagi tindakan undang-undang  yang saya ambil bersama Tun Mahathir, Datuk Seri khairuddin dalam kapasiti peribadi terhadap Najib berhubung salah laku perjawatan dan ia akan diteruskan kerana ia satu tindakan yang  diambil oleh kami, yang saya anggap juga sebagai perjuangan suci bagi pihak rakyat sehingga capai keputusan  mahkamah di tahap tertinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di pejabat peguamnya Mohamed Haniff Khatri Abdulla di Kota Damansara hari ini.

Mohd Hanif pula berkata, dalam masa terdekat pihaknya akan berhubung dengan peguam cara yang mewakili perdana menteri untuk menyampaikan hasrat pembatalan tiga tindakan undang-undang itu.

“Atas arahan anak guam, pasukan peguam dalam masa terdekat akan berhubung dengan peguam cara Najib, responden dan pejabat peguam negara sebelum tarikh ditetapkan melalui prosedur undang-undang untuk menarik balik ketiga-tiga kes tersebut.” jelasnya.