Anina umum keluar Bersatu

Anina Saadudin hari ini mengumumkan keputusan meninggalkan Bersatu 

Salah seorang pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Anina Saadudin hari ini mengumumkan meninggalkan parti itu.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas melihat hala tuju Bersatu tidak lagi selari dengan perjuangannya yang ingin membela rakyat.

“Parti yang saya asaskan secara bersama dengan enam individu lain, barisan kepimpinan parti sudah tidak lagi menepati prinsip perjuangan saya yang diaspirasikan oleh pemikiran seperti saya.

“Bagaikan ISA, saya dihukum tanpa dibicarakan dan tiada hitam putih dikeluarkan untuk politik dalam Bersatu.

“Contohnya, saya disingkirkan daripada Majlis Pimpinan Tertinggi Parti melalui aplikasi Whatsapp (sahaja),” katanya dalam sidang media hari ini.

Anina turut mendakwa Bersatu adalah parti yang mencatur kepentingan politik individu tertentu dan dihantui dasar kronisme walaupun pada asalnya ia ditubuhkan untuk membela kepentingan rakyat.

“Bersatu kini tidak lagi mendukung prinsip keadilan, ketelusan dan integriti dalam pentadbiran parti.

“Fitnah dijadikan asas membuat keputusan dan secara tidak langsung ia dihalalkan untuk kepentingan politik yang kononnya demi rakyat.

“Parti ini ditadbir dengan buruk namun berselindung di sebalik nama negarawan Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya yang merupakan bekas Ketua Srikandi Bersatu.

Beliau bagaimanapun berkata, perjuangannya tidak terhenti dengan keluar daripada Bersatu.

Sebaliknya beliau akan terus membela rakyat berasaskan rasa kasih kepada bangsa Melayu melalui pertubuhan bukan kerajaan yang akan diumumkannya tidak lama lagi.

“Saya tidak memerlukan jawatan dan kuasa politik untuk berjuang demi bangsa kerana Allah membuka ruang, peluang dan kejayaan di akhirat untuk sesiapa saja yang berjuang demi kebenaran dan keadilan untuk agama, bangsa dan negara,” katanya.

CATEGORIES
TAGS