Annuar akan ubah KKMM jadi responsif

Oleh ARIF ATAN

Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Annuar Musa mahu memastikan kerajaan hari ini mengamalkan konsep kebebasan media yang bertanggungjawab.

Menurut Ahli Parlimen Ketereh itu, beliau akan mengubah KKMM muncul sebagai kementerian yang peka terhadap keperluan rakyat.

“Oleh itu, adalah penting untuk KKMM reinvent, rejuvenate dan menjadi lebih kreatif supaya KKMM akan terus menjadi saluran yang berkredibiliti dan berfungsi dengan efisien.

“Saya berharap semua kakitangan KKMM bersedia untuk bekerja dan menjadi suara kerajaan yang responsif, seiring dengan aspirasi rakyat untuk bersama membina Keluarga Malaysia,” lapor Malaysiakini.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu juga akan menjadikan KKMM selari dengan konsep ditekankan kerajaan pada masa ini, ‘Keluarga Malaysia’.

“Saya akan mengubah KKMM menjadi sebuah kementerian yang bukan sahaja membawa informasi kepada rakyat tetapi juga sebagai satu kementerian yang responsif dan proaktif kepada keperluan rakyat.

“KKMM bukan sahaja akan menjadi suara kerajaan tetapi merasakan nadi setiap rakyat, selaras dengan konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang akan menghubungkan Putrajaya kepada rakyat di setiap pelosok negara,” tambah Annuar lagi.