Malaysia Dateline

Annuar beri harapan kepada peniaga bazar Ramadan tapi habuk pun ‘tak dak’

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa disifatkannya hanya memberi harapan kosong kepada peniaga dan penjaja berlesen bazar Ramadan di sekitar ibu kota.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad berkata, pemulangan deposit kepada peniaga terbabit juga sukar dilakukan selepas kerajaan membatalkan sebarang bentuk bazar Ramadan.

“Hari tu duk cerita tiap-tiap hari, beri harapan pada peniaga. Last-last habuk pun tak dak! Nak pulangkan deposit pun panjang cerita,” ciapnya di Twitter hari ini.

Untuk rekod, terdapat lebih 3,000 peniaga dan penjaja berlesen di sekitar Kuala Lumpur yang minggu lalu dilapor bersedia untuk melaksanakan konsep ‘E-Bazar Ramadan’ kepada pelanggan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sehubungan itu, Khalid mengulang kembali desakannya agar kerajaan melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan penganjur bazar Ramadan memulangkan semula keseluruhan bayaran termasuk deposit, sewa tapak dan lain-lain bayaran yang dikenakan kepada peniaga.

“Harap pulangkan deposit ya. Tak payahlah deposit untuk tahun depan! Niaga tak boleh, duit dipegang?” bidas Pengarah Komunikasi AMANAH itu lagi.

Pada 8 April lalu, Annuar Musa berkata, tiga kaedah alternatif akan diperkenalkan bagi menggantikan bazar Ramadan iaitu ‘pandu-lalu’, ‘pilih dan bungkus’ serta penghantaran secara ‘e-hailing’.

Bagaimanapun, pada 16 April lalu, Annuar berkata keadaan belum mengizinkan untuk kerajaan meneruskan kaedah gantian bazar Ramadan seperti dicadangkan kementeriannya sebelum ini.

Sehubungan itu, Annuar berharap penjaja memahami perkara itu kerana fokus utama ketika ini ialah melawan penularan pandemik Covid-19 dengan sebaik mungkin.

Jelasnya lagi, pembatalan apa juga bentuk bazar Ramadan seperti dicadangkan dibuat selepas Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengambil kira semua keadaan demi kebaikan bersama.