Malaysia Dateline

Annuar bukan nak selamatkan Malaysia tetapi Bersatu, bidas Puad Zarkashi

Anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan Tan Sri Annuar Musa kini sudah menjadi jurucakap kepada Bersatu setelah dianugerahkan jawatan menteri oleh Tan Sri Muhyiddin Yaasin.

Puad berkata, Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan pernah merayu supaya Anwar Ibrahim selamatkan Malaysia pada tahun 2018 setelah Umno hilang kuasa.

Susulan itu, katanya Annuar mengeluarkan kenyataan Umno boleh berkawan dengan DAP di mana ketika itu Annuar bukan seorang menteri.

“Baru hilang jawatan Menteri. Mungkin tak sabar sabar nak jadi Menteri semula. Sekarang dah jadi Menteri semula.

“Tiba tiba “No Anwar No DAP”. Kenapa? Bukan nak selamatkan Malaysia tapi nak selamatkan PPBM yang bagi dia jawatan Menteri,” bidas Puad Zarkashi melalui Facebooknya hari ini.

Terdahulu, Annuar Musa terlalu lantang mempertahankan kedudukan Muhyiddin Yaasin selaku Perdana Menteri dan dilihat mengenepikan partinya sendiri, Umno.

Kelantangan Annuar membela Bersatu menyebabkan beliau disingkirkan daripada jawatan Setiausaha Agung BN.

Dalam pada itu, Annuar menyifatkan pemecatan dirinya selaku Setiausaha Agong Barisan Nasional (BN) pada sebagai tidak sah dan mencabar Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memecat dirinya sekali lagi.