Annuar dakwa DAP tanam politik kebencian

Annuar dakwa DAP tanam politik kebencian

Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa mendakwa DAP menanam politik kebencian antara orang Melayu dan Cina sekali gus bertentangan dengan pendekatan moderat yang diamalkan partinya sebelum ini.

Menurut Ahli Parlimen Ketereh itu, politik orang Cina sekarang ini sebenarnya adalah permulaan kepada satu bom jangka yang sangat dahsyat.

“Politik DAP membina sentimen orang Cina ini rasa tidak cukup, itu tidak puas hati.

“Di depan cakap lain, di belakang cakap lain. Bercakap bahasa Melayu di kampung, lain. Bila bertutur dalam bahasa Cina dengan orang Cina, lain.

“Pada jangka panjang, DAP bertanggungjawab menanam juga politik kebencian,” tegasnya ketika berucap dalam Ceramah Perdana: Islam Memimpin Perpaduan di Bandar Baru Salak Tinggi, Selangor malam tadi.

Sebaliknya, jelas Annuar, model kerajaan terdahulu terbukti berjaya apabila orang Melayu dan bukan Melayu saling menerima antara satu sama lain.

“Apapun orang kata, selepas 70 tahun berlalu, kita telah membuktikan model kita adalah berjaya. Model Malaysia bukan dibina oleh DAP. DAP juga menanamkan politik kebencian.

“Secara tidak langsung, DAP menyuruh orang Melayu tanam rasa benci kepada orang Cina. Cara politik DAP secara tidak langsung mengatur strategi untuk melemahkan orang Cina termasuk dalam hal berkaitan ekonomi,” ujarnya.

Sehubungan itu, Annuar menegaskan politik kebencian akan membawa kepada kezaliman berbeza dengan Umno dan Pas tidak akan menjadi politik kezaliman lantaran diikat sendi agama.

“Selagi Umno dan Pas pegang betul-betul agama, agama melarang melakukan kezaliman dan perkauman,” tambah bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar itu lagi.