Malaysia Dateline

Annuar Musa dapat jolokan ‘Menteri Lampu Biru’

Berikutan idea ‘kreatif’ Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa untuk mengarahkan agar semua bangunan kerajaan dipasang lampu berwarna biru bagi meraikan petugas barisan depan melawan Covid-19, netizen menamakan beliau “Menteri Lampu Biru”.

Annuar melancarkan Kempen Cahayakan Biru di sekitar bangunan di Wilayah Persekutuan sebagai tanda terima kasih kepada petugas barisan hadapan yang berjuang melawan wabak Covid-19 ini.

Beliau berkata, kempen empat hari itu akan bermula kira-kira jam 10 malam pada 30 April ini sesuai sempena sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei.

Katanya, biru dipilih berdasarkan warna petugas perubatan.

“Petugas barisan hadapan bukan sahaja dalam kalangan petugas perubatan tetapi warna yang kita pilih berkaitan perubatan kerana negara sedang memerangi virus iaitu antara aspek dalam bidang itu,” katanya melalui siaran secara langsung facebook.

Annuar ketika bercakap mahu masyarakat mengambil bahagian dalam kempen itu untuk menyalakan lampu biru.

Beliau turut memberitahu bangunan utama di pusat bandar seperti Saloma Link, Menara Berkembar Petronas dan Menara One KL memasang lampu pada 30 April.