Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa mendakwa kenyataan dikeluarkan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tengah malam tadi berbeza daripada keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti.
Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) yang dipecat pada Januari lalu itu berkata, hal tersebut telah berlaku beberapa kali sebelum ini.
Menurutnya, beliau mendapat maklumat itu dari beberapa ahli MKT yang menghubunginya sebaik Ahmad Zahid selesai mengeluarkan kenyataan media.
Bahkan, Annuar berkata, tinjauan lanjut mendapati kenyataan yang dibacakan kepada media itu adalah kenyataan yang telah disiapkan lebih awal malah sebelum MKT bermesyuarat.
“Jika benar, ternyata sekali lagi MKT dipermainkan, dan ini amat serius. Pagi ini, apabila saya menjenguk WhatsApp Group Ketua Umno Bahagian (KUB), ramai yang mengeluh dan dalam kekeliruan dengan kenyataan media Presiden Umno.
“Terdapat juga KUB yang juga ahli MKT mengesahkan kenyataan Presiden tidak menggambarkan intipati dan rumusan mesyuarat MKT.
“Mengapakah ini terus terjadi berkali-kali? Lain dibincang, lain pula dirumuskan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook beliau hari ini.
Awal pagi tadi, Ahmad Zahid berkata, Umno mengambil keputusan untuk menarik balik dan menamatkan sokongan terhadap Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yasin dengan serta-merta.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga menyenaraikan tujuh kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) termasuk memperkotak-katik Raja sehingga Parlimen, dan pelan pemulihan negara.
Dalam masa sama, katanya Umno juga mendesak agar Mahiaddin dapat berundur secara terhormat bagi membolehkan seorang Perdana Menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad.
Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan itu memberitahu mesyuarat MKT malam tadi dengan penyertaan 25 ahli berlangsung dalam suasana yang agak tenang dan jujur memberi pendapat.
“Jelas banyak pendapat yang berbeza. Tiada konsensus yang ketara. Tiada undian dibuat. Malah, perbincangan tidak berkisar pada sama ada Umno perlu keluar dari kerajaan PN seperti yang dimomokkan sebelum ini, termasuk pendirian yang dipohon dari pertemuan secara berasingan dengan ahli MKT,” ujarnya.
Sehubungan itu, Annuar menegaskan Ahmad Zahid wajib menjelaskan kedudukan sebenar.
“Segera keluar kenyataan yang benar. Lambat laun, kedudukan sebenar akan terserlah jua. Tak baik bagi parti kita (Umno),” tambahnya lagi.