Malaysia Dateline

Annuar dipecat dari Setiausaha Agung BN

Selepas menegaskan sedia dipecat, Tan Sri Annuar Musa difahamkan dipecat oleh Barisan Nasional (BN) hari ini sebagai Setiausaha Agung.

Menurut sumber, pemecatan itu diputuskan selepas kepimpinan mendapati pandangan Menteri Wilayah Persekutuan itu tidak selari dengan parti gabungan parti itu, Umno.

Annuar yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dikatakan gagal mengetuai parti dalam hal berkaitan dengan Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN).

Ahli Parlimen Ketereh berkenaan sebelum ini dikenali lantang mengkritik isu penyatuan Melayu dan Islam.

Annuar juga dianggap oleh akar umbi Umno menjadi tali barut dan jurucakap Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Bahkan sebelum ini, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi secara terbuka menegur Annuar supaya tidak mendahului presiden parti dalam isu dasar taktikal atau bertindak sebagai ketua penerangan parti lain.

Dalam satu hantaran di Facebook, 22 November lalu, Puad mengulas kenyataan Annuar yang menampakkan Umno sebuah parti yang defensif serta ‘bad boy’.

Timbalan Pengerusi Umno Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed turut pernah menempelak Annuar.

Nur Jazlan mengingatkan pemimpin Umno Kelantan itu bahawa beliau sudah lama ditolak oleh akar umbi Umno ekoran kerap mempertahankan Bersatu dan menjadi ‘jurucakap’ parti diterajui Muhyiddin Yassin itu.

Malah, tindakan pengurusan Umno melantik Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai Setiausaha Agung parti pada 12 Mac tahun lalu juga dikatakan sebagai isyarat penolakan pemimpin dan ahli Umno terhadap Annuar.

Shamsul Anuar Nasarah

Turut diganti dalam penstrukturan Umno ketika itu ialah jawatan Ketua Penerangan parti.

Umno melantik Naib Ketua Pemudanya, Shahril Hamdan sebagai Ketua Penerangan parti itu, bagi menggantikan Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Pengguguran Annuar dan Shamsul itu dipercayai ada kaitan dengan keanggotaan kedua-dua pemimpin itu dalam Jemaah Menteri pimpinan Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu.

Annuar dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, manakala Shamsul yang juga Ahli Parlimen Lenggong dilantik Menteri Tenaga dan Sumber Asli.

Tujuh lagi pemimpin Umno berada dalam Kabinet pimpinan Muhyiddin yang dikritik sebagai Kabinet XXL apabila mengandungi 26 kementerian, termasuk 4 menteri kanan yang membantu menyelaras hal ehwal Kabinet, menggantikan peranan Timbalan Perdana Menteri.

Pemimpin Umno itu ialah Ismail Sabri Yaakob (Pertahanan), Noraini Ahmad (Pengajian Tinggi), Dr Adham Baba (Kesihatan), Hishammuddin Hussein (Luar Negeri), Khairy Jamaluddin (Sains, Teknologi dan Inovasi), Halimah Mohamed Sadique (Perpaduan Negara) serta Reezal Merican Naina Merican (Belia dan Sukan).