Malaysia Dateline

Annuar ditegur untuk hormati sensitiviti rakyat

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Wilayah Persektuan, Tan Sri Annuar Musa berkenaan dengan PRU 15 yang akan diadakan sebelum 1 Ogos 2021 jelas menguris hati ramai pihak.

Teguran itu disuarakan oleh Setiausaha Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor, Mohd Faizul Salleh yang berpandangan agar harus menumpukan isu utama yang dihadapi rakyat terlebih dahulu.

Beliau dalam kenyataannya berkata, jangkaan untuk tahun ini bagi rakyat adalah sebagai tahun pemulihan selepas teruk dibebani dengan gelombang Covid 19 yang melanda negara.

“Selain isu kesihatan, tahap ekonomi rakyat juga memainkan peranan yang penting untuk ditumpukan bukan hanya sibuk mencatur kuasa semata.

“Jangan bebankan rakyat dengan keinginan segelintir pihak yang hanya mahukan Pilihan Raya pada masa yang sama mengorbankan kepentingan rakyat terbanyak.

“Adalah lebih baik Peruntukan untuk mengadakan Pilihanraya yang mungkin mencecah angka Bilion Ringgit di peruntukan untuk mengembalikan kesejahteraan rakyat yabg terjejas akibat COVID 19,” katanya kepada media.

Dalam pada itu Faizul turut menempelak kerajaan yang tidak ikhlas memberikan pelbagai bantuan dalam Belanjawan 2021 sekiranya PRU 15 diadakan pada tahun ini.

“Memang kerajaan tidak ikhlas membantu memulihkan ekonomi rakyat sekiranya PRU 15 diadakan pada tahun ini.

“Ini boleh dilihat sepertimana bantuan yang diberikan kerajaan katanya untuk memulihkan ekonomi rakyat tetapi hanya kosmetik untuk menawan hati rakyat.

“Sebagai sebuah kerajaan, lebih baik ketepikan terlebih dahulu soal PRU, pulihkan dahulu keadaan rakyat yang semakin tersepit akibat bebanan yang dialami pada diri mereka kini,” katanya lagi.

Sebelum ini dalam laporan media tempatan, Annuar Musa telah menyatakan agar semua ahli Umno perlu memastikan parti berkenaan memenangi PRU 15 yang akan diadakan sebelum bulan Ogos 2021.

Terdapat suara-suara netizen yang memberikan komen agar semua pihak menghentikan terlebih dahulu niat untuk mengadakan PRU 15 dalam masa terdekat serta menumpukan usaha kepada rakyat di negara ini.