Malaysia Dateline

Annuar jangka gabungan tiga parti boleh menang semua kawasan majoriti Melayu

Sebanyak 149 kerusi Parlimen di kawasan majoriti Melayu mampu semuanya dimenangi Umno, Pas dan Bersatu jika kekal bergabung pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa, berkata tiga parti itu berpotensi besar untuk memenangi semua kerusi majoriti Melayu pada PRU-15 jika tidak berpecah.

“Kita ada 222 kerusi Parlimen, termasuk 31 di Sarawak. Kawasan berpotensi ditandingi BN dan rakan lain ada 191 kerusi, namun kawasan majoriti Melayu mempunyai 149 kerusi.

“Di 149 kerusi ini, kalau ada permuafakatan serta tidak berpecah, kita berpotensi untuk memenangi semuanya.

“Jadi, formula kemenangan sudah ada dalam kerajaan hari ini,” katanya dalam wawancara bertajuk ‘Umno: Perikatan Nasional (PN) atau Muafakat Nasional (MN)’ di TV Pertiwi, kelmarin.

Ahli Parlimen Ketereh tersebut juga berkata, kesemua 55 kerusi yang dimenangi Umno pada PRU-14 perlu dipertahankan parti itu, namun sebarang rundingan boleh dilakukan pada peringkat Presiden ketiga-tiga parti.

“Ada lagi 11 kerusi yang Umno mendapat undi lebih tinggi daripada Pas. Pas pula mempunyai enam kerusi yang memperoleh lebih banyak undi daripada Umno.

“Justeru, Pas boleh memenangi 25 kerusi dan Umno boleh memenangi 66 kerusi. Masih belum habis, ada kerusi lain yang boleh dipertimbangkan kepada Bersatu. Yang pasti muafakat membawa kejayaan, itu masih boleh diusahakan,” kata Annuar lagi.

Untuk rekod, Annuar sebelum ini dianggap condong terhadap Bersatu bahkan pernah menyatakan Umno akan rugi jika tidak bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) apabila Parlimen dibubarkan.