Annuar kena jawab tuduhan tidak benarkan Kit Siang sertai siri penerangan

Annuar kena jawab tuduhan tidak benarkan Kit Siang sertai siri penerangan

 

 

 

 

 

 

Lim Lip Eng

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa digelar seperti sebagai “badut” setelah mengkritik dan menolak tawaran Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang untuk berucap di siri jelajah penerangan Umno-BN.

Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng berkata, Annuar perlu menjawab beberapa persoalan ekoran tuduhan yang dibuatnya terhadap Kit Siang.

“Pertama, mengapa Annuar tidak memenuhi tanggungjawabnya sebagai seorang Ahli Parlimen untuk mengemukakan aduan kepada pihak berkuasa tentang kenyataan atau tatalaku Kit Siang yang mana beliau maksudkan sebagai tidak menghormati agama Islam dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan Rukunegara?

“Kedua, adakah siasatan ke atas skandal forex yang diarahkan oleh Kabinet itu dijalankan di bawah undang-undang syariah sehinggakan Kit Siang, seorang yang bukan beragama Islam, dihalang daripada membantu siasatan tersebut?

“Ketiga, Pas telah menuduh MCA, Gerakan, MIC dan parti-parti komponen BN dari Borneo sebagai tidak menghormati Islam dalam perkara RUU 355. Kenapa Umno masih berganding bahu dengan parti-parti yang ‘tidak menghormati agama Islam’ ini dalam BN? Bukankah lebih baik bagi Umno untuk membubarkan sahaja BN dan membentuk perikatan baru dengan Pas, dan hanya Pas?,” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Semalam Annuar telah menolak tawaran Penasihat DAP, Lim Kit Siang untuk berucap dalam siri jelajah Penerangan Umno.

Tan Sri Annuar Musa Annuar dipetik berkata, platform parti itu sangat tidak sesuai untuk ahli politik seperti Kit Siang yang pernah didakwa bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai seorang yang rasis dan tidak menghormati syariah serta agama Islam.

Lip Eng berkata, sebagai jurucakap Umno, Annuar perlu menjawab sekurang-kurangnya tiga soalan tersebut atas tuduhannya terhadap Kit Siang.

“Saya diajar bahawa Islam itu agama yang didirikan atas dasar keadilan dan kebenaran. Umno nampaknya berlawanan dengan prinsip itu kerana ia menyebarkan kebencian dan sikap pengecut seperti yang ditunjukkan melalui tuduhan palsu Annuar terhadap Kit Siang dan DAP.

“Pemimpin Umno sekali lagi menunjukkan bahawa apabila mereka telah kehabisan hujah dan modal politik, mereka gunakan modal agama dan perkauman.

“Saya tidak hairan kalau taktik menakut-nakutkan pengundi dengan modal agama dan kaum akan semakin menjadi-menjadi menjelang Pilihanraya Umum ke-14 tidak lama lagi,” ujarnya.

Sebagai rekod Umno dan parti komponen Barisan Nasional (BN) akan memulakan program jelajah ke seluruh negara untuk memberi penerangan mengenai pasukan petugas khas ditubuhkan Kabinet untuk menjalankan siasatan awal berkenaan kerugian urus niaga mata wang asing (Forex) oleh Bank Negara pada sekitar 1990-an.

Penerangan itu akan dimulakan pada 25 Februari depan. Bagaimanapun Kit Siang dalam satu kenyataan semalam, menyatakan kesediaannya untuk bersama Umno-BN dalam siri jelajah yang akan diadakan itu.

TAGS