Malaysia Dateline

Annuar kuarantin sukarela selepas pegawai positif Covid-19

Gara-gara seorang pegawai khasnya disahkan positif Covid-19, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa akan menjalani kuarantin secara sukarela di rumah.

Pejabat Menteri Wilayah Persekutuan menerusi kenyataan akhbar malam tadi memberitahu, salah seorang pegawai khas Annuar didapati positif Covid-19 menyebabkan semua kontak rapat terpaksa melakukan ujian saringan Covid-19.

“Buat masa ini, Annuar dan semua pegawai Pejabat Menteri Wilayah Persekutuan menjalani kuarantin secara sukarela di rumah masing-masing sementara menunggu keputusan ujian saringan,” katanya.

Sehubungan itu, jelas kenyataan itu, kerja-kerja sanitasi di Pejabat Menteri Wilayah Persekutuan di tingkat 6, Menara DBKL 1, sudah dilakukan dan Pejabat Menteri Wilayah Persekutuan akan ditutup untuk tempoh beberapa hari.

Dalam masa sama, kenyataan itu turut memaklumkan Annuar memohon maaf atas sebarang kesulitan berhubung perkara tersebut.