Malaysia Dateline

Annuar Musa anggap pelan pembangunan Kg Bharu tidak penting

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad melahirkan rasa kecewa terhadap Menteri Wilayah baharu yang didakwa tidak mengendahkan persoalan tentang pelan pembangunan Kampung Bharu.

Khalid berkata, kenyataan Annuar Musa bahawa kerajaan tidak mempunyai dana meneruskan projek pembangunan tersebut seolah-olah menggambarkan isu terbabit adalah tidak penting.

Walhal katanya, ketika ini separuh daripada pelan pembangunan Kampung Bharu sudah pun siap dengan 60 peratus persetujuan telah diperolehi dari pemilik tanah.

“Ianya terabai sekian lama walaupun sebahagian besar telah diusahakan PH sehingga kita dapat lebih 60 peratus pemilik bersetuju menjual tanah di Kampung Bharu untuk dibangunkan.

“Kita sendiri dah buat konsep pembangunan dengan gambaran model 3D, dan susun atur konsep pembangunan itu kelak. Separuh daripada kerja itu sudah dilaksanakan.

“Namun, dalam keadaan itu sekalipun kerajaan baru tak mampu meneruskan usaha ini,” katanya dalam sidang media di Pejabat Ahli Parlimen Shah Alam pagi ini.

Pada April lalu, selepas Annuar meminta untuk diberikan masa meneliti dan mengkaji isu berkenaan, beliau mengumumkan bahawa kerajaan tiada dana atau peruntukan untuk membiayai pelan pembangunan mega Kampung Baru.

Katanya, pembelian keseluruhan tanah di Kampung Baru akan menelan hampir RM7 bilion, sedangkan masih terdapat beberapa masalah agak besar termasuk hampir 40 peratus pemilik atau pewaris tanah tidak bersetuju menjual tanah mereka.

Isu pembangunan Kampung Bharu sempat menjadi polemik apabila penduduk menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap harga yang ditawarkan kerajaan untuk pembelian tanah.

Sungguh pun begitu, beliau pada tahun lalu pernah menyuarakan pandangan bahawa isu itu tidak perlu dipolitikkan dan boleh diselesaikan jika pemilik tanah ditawarkan dengan harga pasaran untuk tanah milik mereka.

Sementara itu, Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, adalah sesuatu yang tidak pelik untuk Annuar ketika ini melakukan sedemikian.

“Walaupun saya kecewa tapi hakikatnya saya tak lihat ia satu yang memeranjatkan kerana isu Kampung Bharu memang telah terabai sekian lama di bawah pentadbiran BN.

“Menteri Wilayah baru pun datang dari parti sama, oleh kerana itu sikapnya adalah sikap sebenar yang tidak menganggap soal Kampung Bharu sebagai penting,” katanya.