Annuar selar dendam kesumat Mahathir yang membuak pada Najib

Annuar selar dendam kesumat Mahathir yang membuak pada Najib

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa menyelar kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengesa pembangkang bersatu dengan meletakkan satu calon sahaja untuk mengalahkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan raya Kecil (PRK), 18 Jun ini.

Beliau mendakwa, Mahathir mempunyai dendam terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak.

“Kenyataan terbarunya menggesa pembangkang bersatu meletakkan satu saja calon untuk mengalahkan BN di Sungai Besar dan Kuala Kangsar serta menyeru pengundi supaya menolak BN adalah manifestasi jelas dendam beliau yang membuak-buak sehingga kini kerana telah hilang segala pertimbangan politik dan maruah diri.

“Tun M diketahui mempunyai dendam peribadi terhadap Najib terutama apabila Najib memberi kedudukan kabinet kepada Khairy Jamaluddin yang merupakan rival menewaskan anaknya Mukhriz.

“Najib tidak menyokong anaknya Mukhriz memenangi Naib Presiden Umno dan yang paling melukainya apabila Najib tidak membela anaknya Mukhriz yg di tolak oleh seluruh pimpinan negeri Kedah dan menyebabkan Mukhriz terpaksa melepaskan jawatan MB Kedah,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Bekas presiden Umno ketika berucap pada Himpunan Selamatkan Malaysia di Stadium Melawati, Sabtu lalu, mahu kedua-dua kerusi tersebut hanya ditandingi satu lawan satu sahaja.

Mahathir berkata, ia bagi mengelakkan perpecahan undi di kalangan pembangkang seperti berlaku dalam pilihan raya negeri (PRN) Sarawak sebelum ini.

Ahli Parlimen Ketereh ini berkata, dengan itu harapan dan perancangan Mahathir melihat anaknya menapak ke hirarki parti yang lebih tinggi kepimpinan parti gagal sama sekali.

Ujarnya lagi perasaan marah yang memuncak ini dihembur dengan Mahathir bertindak keluar parti (yang dilihatnya tidak lagi dapat beliau pengaruhi).

“Sebagai seorang pakar strategis Tun M cuba melindungi punca sebenar dengan mencari dan mereka-reka alasan yang lebih noble dan mudah diterima untuk membunuh karakter Najib dan dengan melancarkan “hate campaign” terhadap Perdana Menteri.

“Bagi kita ini semua adalah satu lagi “Rahmat” dan gerak dari Ilahi untuk memberi bukti jelas siapa dia Tun M yang sebenarnya untuk memudahkan rakyat membuat penilaian.

“Tindakan ini juga memudahkan ahli parti mengikis rasa kekok dan serba salah terhadap Tun M dan dengan itu membakar semangat ahli parti untuk lebih yakin berdepan dengannya dan mempertahankan parti dan kepimpinan perdana menteri.

“Ia juga menjadi satu ujian untuk melihat sejauh mana ‘self proclaimed leadership’ Tun M diterima pembangkang setelah usahanya di tolak dan tidak di peduli oleh Umno dan BN. Besar kemungkinan beliau juga ditolak dan tidak di pedulikan pembangkang bila tiba masanya nanti.

“Biarkanlah Tun M dengan gelagat dan dendam kesumatnya kerana Umno dan BN yakin rakyat jauh lebih pintar dan bijak untuk menilai perbuatannya.”ujarnya.

 

TAGS