Malaysia Dateline

Annuar yakin suara tulen, saran Zahid dan Anwar bersumpah di masjid

Bekas Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa menyarankan agar Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan diri daripada dakwaan yang sedang dihadapi.

Saranan itu ekoran tularnya rakaman audio sejak semalam yang mirip suara membabitkan Presiden Umno dan Presiden PKR berkenaan.

Bagaimanapun, kedua-dua wakil rakyat itu masing-masing Bagan Datuk dan Port Dickson menafikan itu adalah suara mereka.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, kedua-dua pemimpin itu perlu mencontohi Najib Razak yang sebelum ini memilih untuk bersumpah membela diri selepas dituduh bertanggungjawab atas kematian wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Najib membuat ikrar sumpah laknat itu di Masjid Kampung Baru pada 20 Disember 2019.

“Kalau nak menyelesaikan kemelut ini mungkin Zahid boleh contohi Najib, pergi ke masjid bersama Anwar dan bersumpahlah.

“Itu satu cara juga, sebab kalau nak tunggu polis siasat, lepas itu siasatan tidak serupa yang mereka nak, (mereka) kata pula polis berkonspirasi… tak pasal-pasal pula.

“Jadi, takkan selesai sampai bila-bila kerana yang jadi saksi (dalam perbualan didakwa itu) mereka berdua,” katanya dalam sidang media sempena pelancaran Bandar Pintar Wilayah Persekutuan (MySmart Wilayah 2030) di Kuala Lumpur hari ini.

Annuar memberitahu dia yakin suara itu milik Ahmad Zahid dan Anwar selepas mendengar rakaman itu malam tadi lebih daripada 10 kali.

“Saya cuba mendengar malam tadi beberapa kali dan sebagai orang yang amat dekat dan rapat dengan kedua-dua individu, pengecaman suara bukanlah menjadi sesuatu perkara rumit.

“”Suara orang lain berlakon dengan suara sebenar saya boleh cam, terus-terang saya katanya setakat pengecaman setelah dengar lebih 10 kali, saya yakin 100 peratus itu adalah suara tulen, bukan orang buat-buat,” katanya lagi.