Antara Chin Peng dan Jho Low

Antara Chin Peng dan Jho Low

Heboh dan kecoh berita abu mayat bekas mendiang Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua dibawa pulang ke negara ini dua bulan lalu dan ditabur ke laut serta di kawasan banjaran Titiwangsa.

Abu mayatnya dilaporkan tiba di Ipoh pada 16 September lalu dan satu majlis peringatan dihadiri 150 individu diadakan pada hari yang sama.

Banyak ulasan dan sembang beremosi dimuatkan dalam media sosial seperti FB dan grup-grup dalam whatsapp. Ramai juga yang membantah.

Antaranya menyuarakan bantahan menyentuh isu maruah dan sensitiviti para prajurit negara dalam perjuangan menentang pengganas komunis. Mereka beranggapan bahawa kerajaan PH tidak sensitif terhadap perjuangan wira negara dalam mempertahankan kestabilan negara dan kecenderungan DAP kepada perjuangan komunis.

Ada yang mengatakan isu debu itu adalah tidak bermakna apa-apa tetapi  kebimbangan sama ada ia adalah cubaan menghidupkan idealisme komunis ke negara ini.

Tetapi pelik tidak pulak mereka berkata apa-apa mengenai sokongan MCA kepada Chin Peng sebagai pejuang kemedekaan dalam laman webnya pada 20 September 2013. Mungkin sebagaimana yang disebutkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, “Melayu mudah lupa” atau orang Melayu tidak membaca.

Ia boleh dirujuk kepada laman sesawang di bawah. https://helenang.files.wordpress.com/2013/09/if-bombmakers-can-be-laid-to-rest-in-their-hometowns-why-not-chin-peng-2013-09-20-15-29-08.png.

Tajuk kenyataan MCA ialah: If bombmakers can be laid to rest in their hometowns, why not Chin Peng. Dalam Bahasa Melayunya, jika jenazah pembuat bom boleh dibawah pulang tanah airnya mengapa tidak Chin Peng.

Mungkin MCA merujuk kepada jenazah pengganas nombor satu Asia, Noordin Mohammad Top yang dibawa pulang ke negara ini untuk dikebumikan di kampung halaman keluarganya di Pontian.

Bukankah MCA adalah ahli Muakafat Nasional sekarang dan kenapa tidak disuarakan bantahan itu kepada sokongan yang diberikan MCA. Bantahan dan kritikan mestilah seimbang.

Bahkan Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor berkata, menerusi perjanjian damai yang ditandatangani kerajaan dan PKM dikenali sebagai Perjanjian Hatyai 1989 kerajaan tiada halangan menerima kembali rakyat negara ini yang pernah menganggotai PKM termasuk yang berada di luar negara ketika itu.

Bagi Rahim, kerajaan serta masyarakat perlu serta tidak mempolemikkan isu abu mayat Chin Peng yang dibawa pulang ke negara ini. (Harian metro, 2 disember 2019)

Katanya, dengan syarat mereka tidak lagi menyebar atau cuba menghidupkan ideologi komunis di negara ini.

Malah Rahim menjelaskan ini adalah fakta sebagaimana termaktub dalam perjanjian dibuat kerajaan di Hat Yai, Thailand pada 2 Disember 1989.

“Apa yang saya ingin nyatakan adalah jika ketika Perjanjian Hatyai 1989 itu dibuat, kerajaan sendiri membenarkan ahli PKM yang hidup untuk pulang dan sedia memberi pengampunan kepada mereka, takkan pula abu mayat Chin Peng tidak boleh diterima?.

“Jadi, apabila syarat itu sendiri dipersetujui kerajaan dan PKM, rasanya tidak perlu abu mayatnya disekat masuk ke negara ini kerana ia tidak memberi apa-apa kesan kepada negara,” katanya.

Ketika itu, perjanjian dibuat wakil kerajaan iaitu Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Wan Sidek Wan Abdul Rahman; Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Haniff Omar dan Ketua Turus Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Hashim Mohd Ali.

Wakil PKM pula terdiri daripada Pengerusi PKM Abdullah CD; Setiausahanya, Chin Peng dan Komander PKM, Rashid Maidin selain wakil kerajaan Thailand,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jni bukanlah bermakna kita menyokong PKM atau Chin Peng, sebaliknya komunis memang musuh nombor satu negara dahulu hingga sekarang.

Pada sidang media Khamis lalu, Mahathir berkata bahawa pemimpin PKM yang lain telah dibenarkan pulang ke Malaysia tanpa kekecohan susulan perjanjian damai yang dicapai.

Justeru, Mahathir mempersoalkan motif pihak yang memainkan isu abu mayat Chin Peng. Mahathir berkata isu seperti abu mayat Chin Peng bukan penentu nasib orang Islam di Malaysia.

Bantahan yang lebih berkisar di sekitar persoalan politik daripada membaca realiti dan isu sebenarnya. Saya juga bersetuju dengan pandangan A. Kadir Jasin dalam blognya bahawa “Maaf cakaplah kalau saya kata, majoriti orang Malaysia adalah manusia yang malas membaca, malas berfikir, tidak gemarkan sejarah dan sangat mudah lupa.

“Sebab itulah saya berulang kali kata, Malaysia tidak akan menjadi negara maju atau amat sukar menjadi negara maju dalam pengertian sebenar.

Untuk menjadi negara maju, kita mestilah bertamadun. Untuk menjadi negara bertamadun, kita mestilah banyak membaca, kita mesti berilmu dan kita mesti berbudi pekerti tinggi”.

Mungkin komunisme adalah musuh silam dan ancaman terhadapnya tidaklah serius lagi, namun perlu diawasi tetapi musuh negara sekarang adalah neoliberalisme. Mungkin ada yang positif mengenainya namun apabila digunakan untuk kepentingan diri dan kumpulan, kesannya boleh membangkrap dan menjejaskan kedaulatan negara serta membawa negara kita ke era penjajahan baharu.

Secara ringkasnya apa sebenarnya yang dimaksud dengan neoliberalisme?

Pertama, dalam bukunya ‘A Brief History of Neoliberalism,’ David Harvey (2005), mengatakan, neoliberalisme adalah fahaman yang menekankan jaminan terhadap kemerdekaan dan kebebasan individu melalui pasaran bebas, perdagangan bebas dan kebebasan kepemilikan peribadi. Ini merupakan gabungan antara liberalisme, fahaman yang menekankan kemerdekaan dan kebebasan individu, dan doktrin pasaran bebas dalam tradisi ekonomi neo-klasik.

Para pendukungnya menempatkan idealisme politik tentang martabat manusia dan kemerdekaan individu, sebagai ‘nilai utama dalam peradaban.’ Mereka menganggap, nilai-nilai itu menghadapi ancaman bukan saja oleh fasisme, komunisme, dan kediktatoran, tetapi oleh segala bentuk campur tangan negara yang memakai idealisme kolektif untuk menekan kebebasan individu.

Rumusan dasar ini terlihat dalam tulisan-tulisan F. A. Hayek, intelektual terdepan yang memperjuangkan fahaman ini. Intinya, Hayek (1960, 1944) menolak segala bentuk campurtangan kerajaan kerana dianggap mengancam pasaran dan kebebasan politik.

Baginya, kebebasan adalah tidak adanya unsur pemaksaaan, dan kebebasan paling utama adalah kebebasan ekonomi, yang berarti kebebasan berusaha tanpa kawalan kerajaan. John Gray (1998) menyatakan, karya-karya Hayek bertumpu pada liberalisme klasik, yang menjunjung hak-hak individu dan keutamaan moral dari kebebasan individu, keunggulan pasaran bebas dan keharusan pemerintah yang terbatas di bawah naungan undang-undang.

Di negara kita neoliberalisme bergerak dalam konteks dan persekitaran tersendiri, di bawah bayangan kerajaan contohnya 1MDB. Kerajaan yang memutuskan melalui penasihat-penasihatnya apakah jenis perniagaan yang akan dilaburkan.

Untuk diringkaskan, di sini puncanya siapakah penasihatnya. Adakah ia merupakan penasihat saksi 25% seperti lakon Allahyarham Saleh Kamil dalam filem Tiga Abdul. Akhirnya yang mulai muncul ialah elit politik dan elit perniagaan  yang menanggalkan nasionalisme lokal dalam amalan perniagaan dan politiknya.

Mereka mugkin bersifat nasionalis tetapi nasionalis globalis. Selain nasionalisme didukungi dalam kumpulan neolib, nasionalisme juga kini dilatari oleh tumbuh suburnya oligarki yang dapat dikaitkan dengan lahir kleptokrasi. Nasionalisme globalis  dalam praktek politik, diramaikan oleh nafsu oligarki kleptokrat yang lebih dominan dalam amalan politik

Dalam praktik sebelum ini, negara ini yang ditunggani oleh oligarki kleptokrat  sebagai pemerintahan yang dikendalikan oleh sejumlah kecil orang dengan motif mempertahankan dan melambakkan kekayaan dan mengukuhkan kekuasaan dalam berbagai cara.

Para oligarki berjaya dalam kekuasaan kerana didukungi oleh apa yang dinamakan income defense industry bukan bidang pertahanan tetapi industri memapan dan mempertahankan kekayaan di tangan segelintir.

Dalam hubungan ini, Presiden pertama Republik Indonesia, Ahmad Soekarno pernah berkata (walaupun ketika itu belum wujud neoliberalisme) jika wujudnya elit politik dan perniagaan, semangat nasionalisme yang mereka amalkan adalah “Nasionalisme Zonder” iaitu tiada kemajuan dan tiada bangsa.

Kemajuan dan pembangunan yang dilaksanakan adalah dikuasai dan dimonopoli oleh segelintir atau kleptokart di mana rasuah adalah rajanya.

Di mana pula penglibatan dan pembabitan Jho Low, beliau pun tidak ambil berat tentang neo-liberalisme tetapi mungkin adalah aktor utama yang berada di pentas neoliberalisme ala Malaysia.

Kalau sesiapa mengamati kes perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengetahui di mana peranan penasihat ala saksi 25% itu memainkan peranan, sehingga tertanya juga adakah beliau agen Republik Rakyat China?

Mungkin saya silap tetapi beliau adalah contoh yang dapat dibuat kajian kes tentang  aliran falsafah neoliberalisme. Bagaimanapun beliau perlu kembali untuk dibicarakan bagi mengetahui praktis neoliberalismenya yang bagaikan halimunan itu, yang amat menarik untuk dikaji.

*Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Unisel.