Malaysia Dateline

Antara feminisme dan budaya submisif ketimuran

Penulis berasa terpanggil untuk memberi komentar apabila rakan-rakan di luar negara menghubungi penulis perihal saranan dalam poster Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Malaysia didokongi Menteri Datuk Seri Rina Harun dan Timbalan Menteri Dato Siti Zailah Mohd.Yusoff.

Saranan itu juga dibincangkan panel secara langsung dalam The Bold Report juga pelbagai akhbar dunia seperti The Guardian, The Straits Times, Independent, Al Jazeera, Taipei Times, Reuters, Arab News, South China Morning Posts.

Pelbagai media luar negara ini memberi kritikan hebat tidak kira lelaki atau wanita. Saranan kementerian tersebut dikatakan seksis (‘sexist’). Lantaran kontroversi tersebut KPWKM Malaysia meminta maaf lalu memadamkan poster tersebut.

Pendek kata, rakyat Malaysia terutama wanita serata dunia di luar negara malu dengan pendekatan kementerian tersebut yang mengakibatkannya dibicarakan secara meluas dan menjadi bahan ketawa masyarakat dunia keika krisis wabak virus Covid-19 ini.

Poster itu antaranya menggalakkan wanita berdandan, berhias dan bersolek semasa membuat kerja di rumah semasa virus Covid. Wanita juga dinasihatkan agar kurang berleter dan membuat suara Doraemon apabila mahu marah.

Women’s Aid Organisation mengkritik poster tersebut sebagai stereotaip wanita yang digelar sebagai kaki leter dan bersikap seperti tuan. Poster tersebut juga berat sebelah kerana hanya wanita yang perlu berubah untuk mengurangkan konflik.

All Women’s Action (AWAM) pula mengatakan wanita ada banyak tugas lain selain mengenakan mekap dan kelihatan cantik. Wanita bukan objek atau komoditi, wanita juga manusia.

Penulis amat faham mengapa pertubuhan-pertubuhan awam tersebut mengkritik hebat saranan tersebut apatah lagi merekalah barisan hadapan yang berdepan dengan kes-kes penderaan wanita dengan mendapat kerjasama erat bagi pelaksanaan undang-undang mencegah keganasan dengan pihak polis dan hospital.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebelum ini di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) diterajui Datin Seri Wan Azizah dari Parti Keadilan Rakyat kini di bawah Perikatan Nasional (PN) di bawah Parti Pribumi Bersatu (Menteri) dan Parti Islam Semalaysia (Timbalan Menteri).

Dato Seri Rina Harun yang sebelum ini merupakan bekas menteri juga di bawah kerajaan Pakatan Harapan yang lalu di bawah portfolio Kementerian Pembangunan Luar Bandar. Di sini, beliau dilihat ada beberapa tahun pengalaman sebagai seorang menteri. Manakala Dato Siti Zailah adalah muka baru dalam pemerintahan kerajaan Pusat yang baharu ini.

Penulis sepintas lalu menyifatkan poster tersebut juga sebagai seksis juga memalukan kaum wanita Malaysia yang dilihat lebih ke depan, berdikari, yang lebih tahu peranan dan cara apa yang baik untuk rumahtangga dan keluarganya sendiri.

Jika poster tersebut terhasil atas dasar ‘kontroversi yang buruk’ adalah promosi yang baik sebagaimana yang dilihat diamalkan oleh segelintir peniaga maya di media sosial, maka penulis berpendapat ini tidak sesuai diamalkan pada peringkat kementerian.

Kemungkinan ini akan memberi persepsi buruk bahawa kerajaan PN yang baru di bawah kementerian tersebut dipandang kurang keupayaan dan kewibawaan mentadbir.

Walhal, pelbagai langkah proaktif perlu dirancang dan dirangka untuk lebih maju ke depan yang seharusnya mengangkat martabat kaum wanita Asia dan Islam yang majoriti di Malaysia.

Saya merasakan cara berfikir juga matlamat kementerian perlu jelas dan polisi yang lebih mampan ke depan. Cadangan pelaksanaan undang-undang mencegah keganasan dan penderaan ke atas wanita dan kanak-kanak dengan membuat profil kawasan jenayah terhadap bekas perogol, pedofil adalah antara cadangan langkah yang baik.

Sebagai wanita juga saya tertanya-tanya dan hairan cara kementerian berfikir, menganalisa dan melihat sesuatu isu kekeluargaan berkaitan wanita pada zaman virus Covid-19 sedang melanda ini.

Contohnya, penangguhan kes-kes perceraian yang membuatkan wanita digantung tanpa bertali juga penangguhan pembayaran nafkah yang boleh dikaji oleh pihak kementerian.

Jujurnya saya berfikiran terbuka juga, jadi jika ada saranan yang disampaikan dengan nada lawak juga bersahaja dengan harapan agar mesej jelas sampai kepada rakyat boleh diterima pakai.

Namun, mesej yang disampaikan terlalu seksis yang membuatkan kaum wanita sendiri merasa rasa tercabar dan malu untuk melakukannya.

Jika wanita secara dasarnya dikatakan suka membebel, maka ini bertepatan dalam video di Facebook di bawah halaman Dhar Mann yang mengatakan bahawa wanita bukan membebel tetapi mengambil berat.

Lalu, hal ini terluah dengan kata-kata yang merupakan sifat semulajadi wanita berbanding lelaki. Lelaki dilihat secara umumnya lebih suka mendiamkan diri dari berkata-kata.

Isu yang sebenarnya diutarakan di sini ialah keberkesanan dan cara penyampaian maklumat dalam rumahtangga daripada ibu atau isteri kepada suami atau anak-anak.

Jika anda suka membaca maka di perpustakaan anda boleh mencari bahan bacaan, buku yang menulis tentang cara berkomunikasi yang berkesan di dalam rumah. Sebagai contoh sebagai cara untuk ibu menyuruh ahli rumah menolong ibu yang penat membuat kerja rumah, maka ibu tidak perlulah membebel kerana bebelan dilihat kurang berkesan.

Maka secara efektifnya ibu seharusnya mengatakan, “Saya berasa berbangga jika awak boleh menolong saya… dan sebagai imbal balas saya akan memasakkan sesuatu yang sedap untuk awak hari ini!”. Ini dilihat sebagai pembicaraan suara hati yang minta pertolongan di rumah berbanding bebelan yang menyakitkan hati.

Saya sendiri suka mendengar ceramah Ustaz Shamsul Debat yang ada menyelitkan antara ceramah-ceramahnya bagaimana cara suami atau isteri harus berbicara dengan nada lawak dan bersahaja tetapi mesejnya sampai untuk komunikasi lebih berkesan.

Begitu juga syarahan pakar motivasi yang lain seperti Dato Dr.Fadzillah Kamsah, dan pelbagai nama tersohor yang lain di Malaysia. Selain cara dan nada penyampaian yang betul dan berkesan, disusuli dengan pelan tindakan yang bagus, maka ini akan menghasilkan keharmonian dalam rumahtangga yang terkurung 24 jam di rumah semasa PKP akibat virus Covid-19 ini.

Mungkin juga poster tersebut ada bahagian positif dan kebenarannya iaitu ibu dan isteri-isteri perlu berdandan juga di rumah bertepatan dengan kehendak agama bahawa isteri perlu berhias cantik di rumah di depan suami.

Ini dikira boleh menutup mata suami yang nakal yang lebih suka melihat perempuan cantik berhias di luar juga mengurangkan kes sosial, kes-kes perceraian akibat orang ketiga dan sebagainya.

Namun, kesesuaian dengan keadaan rumah perlu diambil kira ditambah dengan cuaca Malaysia yang panas dan ada rumah yang tiada penghawa dingin. Penulis kira dengan menggunakan nada lawak suara Doraemon adalah sebagai satu retorik kepada kelakar bersahaja bertujuan bagi mengeratkan hubungan suami isteri.

Sebenarnya, perkara tersebut dipandang sinis kerana beberapa isu yang lebih besar yang lain iaitu persepsi, peranan dan sumbangan wanita terhadap rumahtangga, masyarakat dan negara.

Peranan agama Islam secara umumnya dan liberalisasi wanita dari sebelah Barat dilihat telah mengangkat martabat wanita dari dulu hingga kini. Sebagai contoh di Amerika Syarikat (AS) dahulunya, wanita tiada hak mengundi.

Namun, liberalisasi wanita berjaya memperjuangkan hak-hak wanita yang lain juga seperti pemilikan harta, hak bekerja, kenaikan pangkat dan sebagainya. Jika zaman Jahiliyyah Arab dahulu masyarakat memandang rendah pada kelahiran anak perempuan lalu menanam mereka hidup-hidup, Islam telah mengangkat darjat wanita seperti lelaki juga, yang membezakan hanya ketaqwaan kepada Allah s.w.t.

Maka, kepada wanita tidak seharusnya memandang rendah pada dirinya sendiri dan juga kemampuan diri. Jika peranan wanita dipandang remeh seperti penghias rumah, pembantu rumah, wanita penggoda dan sebagainya, maka wanita itulah sendiri yang memandang rendah akan kebolehan dan potensi juga keupayaan diri.

Jika wanita sedar bahawa mereka mempunyai pengaruh dan peranan yang positif tersebut, hal ini haruslah disampaikan dengan cara yang betul dan berkesan kepada keluarga dan masyarakat.

Saranan tiru suara Doraemon menjadi bahan ketawa orang ramai di dalam mahu pun di luar negara.

Masalah insan

Pandangan terlalu feminis atau liberalisasi wanita yang ekstrem pula dilihat tidak berpijak di bumi yang nyata. Bagi yang beragama, maka ini seharusnya berfikir bahawa apa-apa undang-undang dari Allah contohnya hukum faraid, poligami dan sebagainya haruslah diterima baik, disangka baik kepada Allah bahawa Tuhan lebih tahu kemampuan insan lelaki atau perempuan maka tanggungjawab ini berpatutan, rasional pada mereka.

Sebagai contoh apabila wanita menjadi imam solat di belakangnya diikuti lelaki, maka hal ini tidak boleh diterima agama. Begitu juga sesetengah golongan yang menolak sunnah poligami dan sebenarnya yang bukan satu kesalahan dalam agama.

Isu yang lebih besar ialah sejauh mana penganut agama itu sendiri mengadaptasi dan memanifestasi agamanya dalam kehidupan. Ini lebih ke arah masalah insan itu sendiri dari masalah agamanya itu sendiri.

Jika anda biasa mendengar ceramah juga ucapan dari penceramah wanita dari sebelah Barat maka anda akan memahami bahawa wanita sebelah sana lebih terbuka dan maklum akan peranan mereka.

Jika sebelah Timur, segelintir kecil agamawan yang cauvinisme lelaki (male chauvinism) suka meletakkan peranan wanita sebegitu rendah sebagai contoh tukang cuci, tukang bancuh kopi, tukang potong kuku suami dan sebagainya, maka perspektif peranan wanita ini telah disempitkan, malangnya atas nama agama.

Malah hingga ada segelintir kecil agamawan yang memandang hal kecil sebagai besar sebagai contoh yang mengira bayaran bil api yang harus dibayar isteri jika menggunakannya, pengagihan seterika elektrik atau difaraidkan selepas ketiadaannya dan sebagainya.

Majoriti agamawan kini tidak kira lelaki atau perempuan sudah lebih terbuka dan jelas akan peranan lelaki dan wanita lalu membetulkan ketidakfahaman tersebut sebagai contoh pembahagian kerja rumah bukan sepenuhnya atas bahu isteri.

Wanita zaman ini mempunyai banyak peranan bukan sekadar hamba keluarganya 24 jam.

Kini, wanita harus sedar bahawa persepsi yang sempit terhadap wanita ini tidak benar, tidak seharusnya diterima tidak kira belah timur atau barat atau atas nama agama. Jika hal ini masih berterusan dan wanita jika masih merelakan wanita perkara tersebut berlaku tanpa bersuara, maka wanitalah sendiri yang akan rugi.

Peranan dan sumbangan wanita dalam masyarakat samada di Barat atau Timur adalah dilihat sama sahaja antaranya seperti diketahui untuk melengkapkan tanggungjawab keluarga seperti menambah baik ekonomi keluarga, mendidik ahli keluarga ,pengurusan kerja-kerja rumah dan sebagainya.

Yang membezakan ialah setakat mana penglibatan mereka dan kepercayaan diberikan kepada mereka mengikut latar belakang budaya, adat resam dan agama. Sebagai contohnya wanita di barat kelihatan lebih terbuka mindanya, berasa pandangan mereka terpaksa diambil kira samarata dengan lelaki, diberi peluang yang sama selayaknya dengan kelulusan mereka sama seperti lelaki, dan apa-apa tindakan mereka kelihatan banyak terpengaruh oleh arus pemodenan hasil dari gerakan liberalisasi wanita moden barangkali.

Menurut pengamatan penulis ketika berada di luar negara dan juga mungkin pengaruh televisyen, wanita di barat jika bertengkar mereka akan mengutarakan pendapat mereka tanpa ragu daripada menurut sahaja. Mereka tidak takut dan gentar menuntut hak sama rata mereka dan tidak membiarkan mereka dibuli lelaki.

Wanita di timur juga Timur Tengah juga termasuk Turki (negara Eropah yang berbudaya Timur) pula mungkin kerana budaya, adat resam juga pengamalan agama dilihat sebagai lebih didominasi oleh lelaki.

Wanita Timur dilihat lebih submisif, sopan santun dan ‘reserve’ berbanding wanita Barat. ’Reserve’ atau dengan kata lain mungkin kerana malu adalah bagus dari perspektif Islam kerana ini mengekang pergaulan sosial yang berlebihan.

Oleh itu, mereka kurang mengutarakan suara untuk mendapatkan hak atau menyuarakan pandangan mereka. Sesetengah mereka terpengaruh dengan budaya nenek moyang mereka, mungkin kerana rasa kurang selamat jika hilang pergantungan hidup atau kerana kekurangan pendidikan berbanding lelaki zaman penjajahan dahulu, mengambil sikap menurut atau mendiamkan diri sahaja.

Setengah mereka menganggap setengah pandangan liberalisasi wanita atau feminisme itu salah dan tidak berlandas ajaran Islam, seperti contoh hak pemilikan harta, hak bersuara, hak bekerja, pandangan samarata di sisi Tuhan dan sebagainya.

Ini menyebabkan ramai antara mereka dibuli oleh pasangan mereka samada secara psikologi, emosi juga fizikal.Ini boleh dilihat pada kes-kes perceraian juga keganasan rumahtangga.

Jika wanita mendengar pandangan agamawan wanita juga lelaki yang tidak feminis atau cauvinis lelaki, maka wanita akan tahu tempatnya di mana, di dalam rumahtangga, masyarakat atau negara juga di sisi Tuhan.

Maka, wanita bukanlah kerjanya menghambakan dirinya kepada suaminya dan anak-anak juga keluarganya dengan dibebankan dengan pelbagai kerja. Perkahwinan adalah satu perkongsian keluarga dan kerja rumah tangga yang adil adalah prinsip yang patut diterima semua agama. Secara amnya, tiada justifikasi yang wajar untuk poster berbaur seksis tersebut.

Menteri seharusnya lebih serius untuk bekerja untuk memajukan wanita. Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin sebagai respon kepada isu tersebut menyatakan mereka harus diberi peluang lalu kementerian tersebut menurunkan poster tersebut lalu memohon maaf.

Kementerian yang di bawah kerajaan yang baru ini disarankan agar mempunyai visi yang lebih jelas, ke depan dan merangka pelbagai pelan tindakan memperkasakan wanita di Malaysia.

Sebagai contoh mengurangkan kebergantungan wanita bekerja kepada pembantu rumah asing yang kini masih tiada sudahnya, medium supaya suri rumah walau duduk di rumah tetapi masih boleh menjana wang untuk membantu ekonomi keluarga dengan mengadakan platform yang selamat dan berkesan, menggalakkan pemandu teksi atau Grab wanita seperti di Belanda jadi penumpang wanita lebih rasa selamat ketika berjalan dan sebagainya.

Haruslah diingat bahawa peranan wanita adalah besar dalam keluarga selain peneman suami, memasak, mengemas rumah,mendidik anak dan sebagainya.

Pada masa PKP bahana virus Covid-19 ini, wanita selain berperanan sebagai pekerja dari rumah juga menjalankan peranan sebagai ibu dan isteri. Oleh itu, wanita bukan semata-mata penghibur atau hamba suami, anak-anak dan keluarganya 24 jam.

*Penulis ialah Pensyarah Kanan , Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Kes penceraian dan keganasan rumahtangga bukti ramai wanita dibuli oleh pasangan mereka secara psikologi, emosi dan fizikal.