Malaysia Dateline

Antara hormat dan iktiraf, jangan sampai sama taraf

Islam sebagai agama wahyu, panduan hidup yang murni, mempunyai kedudukan yang tinggi dan utama di sisi penganutnya. Sebagi panduan yang lengkap untuk sekalian manusia, Islam turut mengatur panduan beragama menjangkaui batasan ungkapan dua kalimah syahadah jua.

Inilah yang dinamakan sebagai kebebasan beragama sebagaimana jelas dinyatakan di dalam Al-Quran.

Maksud Firman Allah SWT:

“Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
(Al-Baqarah; 256)

Senada dengan itu, Islam mengajar umatnya untuk saling hormat-menghormati antara satu sama lain walaupun berbeza kepercayaan dan agama.

Sebagaimana maksud firman Allah SWT:

“Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami jadikan Setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. kemudian kepada Tuhan merekalah kembali mereka, lalu Dia memberitakan kepada mereka apa yang dahulu mereka kerjakan.”
(Surah Al-An’am; 108)

Pada masa yang sama, seorang muslim dituntut agar sentiasa menjaga dan memelihara jati diri sebagai seorang muslim dalam kerangka ajaran akidah dan akhlak yang jelas.

Selagi mana tindak tanduk atau kata-kata tidak melampaui batas-batas yang digariskan agama, maka tidak menjadi suatu kesalahan untuk seorang muslim menyantuni golongan bukan Islam kerana itu sememangnya menjadi ciri-ciri agama Islam yang sentiasa menyeru kepada keamanan dan keharmonian beragama.

Sempadan Iman

Teras kepada akidah yang sahih merangkumi tiga elemen penting iaitu membenarkan dalam hati dengan teguh, akur dengan lisan dan dibuktikan dengan amalan serta perbuatan.

Pun begitu, syarak tidak semudah-mudah untuk mengeluarkan seseorang daripada daerah keIslaman. Apa yang diajar sepanjang penjagaan agama ini ialah sikap berhati-hati dan teliti dalam ketiga-tiga teras yang berpaksikan kepada hati, lidah dan anggota badan yang beramal.

Justeru, batas-batas iman dan kufur perlu dilakukan dengan teliti dan berhati-hati.

Ini penting agar tiada mana-mana pihak yang tersalah faham sehingga terjebak ke dalam sikap melampau. Sama ada terlampau rigid dalam mengeluarkan seseorang daripada Islam atau terlampau longgar sehingga mengharuskan apa jua bentuk kekufuran yang dilakukan.

Hal ini membawa kita kepada penelitian ke atas satu surah yang membawa mesej yang jelas tentang batas-batas dan etika dalam menyikap agama lain, iaitu surah al-Kafirun.

Ketika menjelaskan tentang sebab turun surah ini, Ibn Kathir menjelaskan bahawa orang-orang kafir Quraisy pernah mengajak Rasulullah SAW untuk menyembah berhala-berhala mereka selama satu tahun, lalu mereka akan menyembah Allah selama satu tahun. Maka, Allah SWT menurunkan surah tersebut.

Menurut Ibn Ishaq, tawaran daripada kafir Qurays juga pernah dilakuakn berorentasikan manfaat yang akan diperolehi.

Walid bin Mughirah, Ash bin Wail, Aswad bin Abdul Muthalib dan Umayyah bin Khalaf menemui Rasulullah SAW dan mencadangkan,

“Wahai Muhammad, marilah kami menyembah Tuhan yang kamu sembah dan kamu menyembah Tuhan yang kami sembah. Kita bersama-sama ikut serta dalam perkara ini. Jika ternyata agamamu lebih baik daripada agama kami, kami telah ikut serta dan mengambil keuntungan kami dalam agamamu. Jika ternyata agama kami lebih baik dari agamamu, kamu telah ikut serta dan mengambil keuntunganmu dalam agama kami.”

Penawaran yang berlaku telah menjatuhkan taraf Islam dan boleh disifatkan sebagai satu usaha untuk menyamakan taraf Islam dengan agama nenek moyang mereka. Lalu perkara ini telah ditegaskan dengan tuntas sekali iaitu:

لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ

“Untukmu agamamu, dan untukkulah, agamaku”.

Berikutan itu, Hamka telah menegaskan dalam Tafsir Al Azhar:

“Soal aqidah, antara tauhid mengesakan Allah, sekali-kali tidaklah dapat dikompromikan atau dicampuradukkan dengan syirik. Tauhid kalau telah didamaikan dengan syirik, ertinya adalah kemenangan syirik.”

Pluralisme agama

Menghormati agama lain tidak bermakna pengiktirafan yang akan menyamatarafkan Islam dan agama-agama lain yang ada di dunia.

Menghormati agama lain tidaklah sehingga kita menggadaikan ketinggian taraf Islam dengan alasan meraikan kepercayaan agama lain.

Hakikatnya, umat Islam perlu berhati-hati dengan satu aliran pemikiran yang dinamakan sebagai Pluralisme agama.

Ringkasnya aliran ini berpandangan bahawa agama-agama yang bermacam-macam dan berbeza-beza itu mempunyai kesamaan dari segi ontologi, soteriologi, dan epistemologi.

Dengan kata yang lebih mudah, pluralisme agama adalah satu istilah yang merujuk kepada:

1) Kebenaran ada dalam semua agama.

2) Keselamatan boleh dicapai menerusi mana-mana agama.

Oleh yang demikian, sebagaimana lelaki dan wanita adalah dua jantina yang sama sekali berbeza, begitulah juga dengan Islam dan agama-agama selainnya.

Maka, dalam menghormati dan meraikan agama lain, satu slogan yang mesti sentiasa tersemat ialah “lakum dinukum wa li yadin.”
———–
Penulis adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial (FESS OUM) dan Penasihat Pertubuhan Ilmuwan Dan Cendekiawan Muslim Malaysia (ILMAN).