Malaysia Dateline

Antara ideal dan realiti dalam menilai Pakatan Harapan

 

Selepas selesainya isu perhimpunan mengenai ICERD elok juga diberi perhatian kepada isu lain yang lebih utama daripada terus terperangkap dalam percubaan Umno-Pas untuk mengeksploitasi sentimen kaum-agama bagi tujuan politik mereka.

Bahkan saya rasa cukup hairan sebagai Muslim apabila mereka telah berhimpun di Dataran Merdeka Sabtu lepas dengan mendakwa tujuan mereka adalah untuk mempertahankan Islam.

Bagi saya Islam tjdak mempertahankan korupsi dan penyelewengan dan juga tidak menerima sebarang bentuk amalan diskriminasi mengikut warna kulit.
Bagaimana bekas perdana menteri yang kini menghadapi puluhan tuduhan rasuah dan salah laku boleh diberi penghormatan oleh penganjur utama perhimpunan ini (Pas) untuk turut serta dalam perhimpunan ini bersama pemimpin-pemimpin lain daripada dua parti yang terlibat?

Jadi, ia bukan untuk mempertahankan Islam, lagipun ICERD bukan konvensyen yang mensasarkan agama tetapi kaum.

Bagi saya apa yang menjadi isu pokok sekarang barangkali ialah apakah Pakatan Harapan berada di atas landasan yang betul?

Nampaknya bagi segmen-segmen masyarakat yang berbeza dan secara umumnya mungkin PH dilihat sebagai tidak memenuhi aspirasi rakyat. Ini berdasarkan beberapa tjndakan kerajaan baru yang dilihat tidak berkesan, tidak menepati janji manifesto dan tidak sesuai.

Beberapa isu telah dibangkitkan tetapi saya ingin melihat kepada dua isu yang dilihat sebagai “kegagalan” kerajaan PH.

Yang pertama isu pinjaman dari PTPTN dan kedua isu taman rimba Bukit Kiara di Damansara Kuala Lumpur.

Isu PTPTN kini sudah sampai ke tahap agak kritikal kerana sebagai badan yang memberikan pinjaman untuk pengajian tinggi kepada para pelajar yang memerlukan tidak kira di universiti awam mahupun swasta pembayaran balik pinjaman sudah menjadi kontroversi kerana nampaknya bekas pelajar yang masih berhutang dengan badan itu menghadapi kesukaran untuk melangsaikan hutang mereka.

Semasa regim lama BN masih berkuasa, isu kesukaran pelajar membayar balik pinjaman telah diungkitkan banyak kali dan beberapa langkah diambil untuk mencari penyelesaian, namun akhirnya para peminjam tetap tidak berpuas hati dengan badan itu kerana dianggap “menindas” mereka.

Sekarang di bawah kerajaan baru dalam era Malaysia Baru ini, masalah ini masih berada di tahap lama. Dan ditambah lagi dengan masalah mereka yang mengetuai badan ini masih sedang berada di dalam proses mempelajari selok belok fungsi dan kerja badan tersebut.

Cuma semasa proses ini seeloknya kenyataan kontroversi patut dielakkan. Juga “penyelesaian” yang sebenarnya tidak menjadi penyelesaian sebab kurang penelitian terhadap mekanisme yang dicadangkan.

Apa yang kita dapati sekarang ialah PTPTN terpaksa menangguhkan pelan barunya untuk memotong terus daripada gaji peminjam sejumlah wang yang ditetapkan menurut skala yang bagi badan itu adalah adil tetapi tidak bagi para peminjam.

Dalam isu ini nampaknya jurang komunikasi antara peminjam dan PTPTN adalah agak luas dan badan itu masih belum mencari jalan bagaimana boleh menetapkan satu pelan pembayaran balik yang berkesan dan kurang penentangannya daripada peminjam.

Dalam apa pun keadaan para peminjam harus menerima bahawa hutang mesti dibayar dan masalah golongan yang tidak membayar walau telah mendapat pekerjaan yang baik dan bergaji tinggi adalah sesuatu yang memalukan dan bertentangan dengan nilai hidup manusia yang bertamadun.

Isu kedua ialah tentang penentangan penduduk sekitar taman rimba Kiara terhadap pembangunan perumahan mewah yang akan menyebabkan lenyapnya kawasan hijau yang sangat diperlukan oleh penduduk di kawsan sekitarnya.

Bantahan berterusan sejak zaman pemerintahan lama telah menyebabkan penangguhan projek itu daripada diteruskan tetapi mengikut laporan terkini dikatakan perintah pembangunan telah dikeluarkan dan apa yang hendak dilakukan oleh pihak berkuasa ialah untuk mencari jalan tengah supaya sebahagian taman itu terus dapat dikekalkan walaupun kawasan untuk pembangunan kondo mewah akan diteruskan.

Masalah di sebalik isu ini dan isu-isu lain ialah cara bagaimana PH menanganinya.

Nampaknya timbul jurang antara penyokong kerajaan dengan kerajaan disebabkan kegagalan memahami apa yang ideal dengan apa yang menjadi realiti.

Sememangnya ketika berkempen untuk menumbangkan regim lama, pendekatan parti-parti dalam PH ialah untuk menjanjikan bermacam-macam perkara yang difikirkan boleh dilaksanakan oleh gabungan itu sekiranya mendapat mandat rakyat.

Perkiraannya ialah kedudukan kewangan negara adalah stabil dan boleh menampung pelbagai janji yang PH letakkan di dalam manifesto.

Ini termasuk janji untuk menghapuskan tunggakan kepada peminjam PTPTN. Mereka tertipu dengan propaganda bekas Perdana Menteri yang mendakwa bahawa “kedudukan asas ekonomi negara adalah baik”. Berdasarkan gambaran tentang ekonomi itu, pelbagai janji telah dibuat.

Namun setelah mendapat berkuasa barulah mereka berhadapan dengan realiti. Kantung negara boleh dikatakan berada dalam keadaan yang amat mendukacitakan. Kini segala usaha sedang dibuat untuk memperbetulkan keadaan.

Cuma yang menjadi masalah ialah mereka yang menyokong PH pun terpengaruh dengan penentang kerajaan bahawa PH banyak membelakangi kehendak rakyat. Mereka menyertai kritikan seperti penentang kerajaan dan membuat desakan-desakan yang meletakkan PH dalam dilema.

Penyokong PH harus memberikan ruang untuk mereka yang baru beberapa bulan menjadi menteri untuk melaksanakan tanggungjawab mereka. Dan penilaian harus mengambil kira betapa antara ideal dan realiti pastinya ada jurang.

Dalam hal ini adalah wajar bagi pemimpin kerajaan untuk membuat tindakan yang betul setelah dikaji daripada bertindak secara spontan seperti kes PTPTN yang menyebabkan usaha yang baik pun ditafsir sebagai memberi masalah kepada rakyat.

Apakah semua pemegang taruh telah dirujuk sebelum sesuatu dasar dikemukakan?