Antara Iran dan Korea Utara: Siapa lebih Syaitan?

Antara Iran dan Korea Utara: Siapa lebih Syaitan?

Menjelang pertemuan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Presiden Korea Utara, Kim Jong Un di Singapura pada Selasa ini, ingin juga ditanggapi siapa yang lebih syaitan kepada pandangan AS?

Keputusan Trump menarik diri daripada perjanjian nuklear dengan Iran bukanlah sesuatu yang tidak dijangkakan atau gila seperti yang disebutkan oleh sesetengah pemerhati antarabangsa.
Langkah Trump yang dianggap mendadak di mata antarabanga ini sebenarnya telah diperkirakan dalam misi keamanannya dengan Korea Utara.

Selama berdekad lamanya, AS sebagai aktor sejagat utama di pentas antarabangsa berhadapan dengan dua negara yang merupakan musuh yang dianggap syaitan-syaitan kecil di atas kedegilan kedua negara itu untuk akur kepada AS.

Jika AS menanggap dirinya sebagai Raja Jalut dalam kisah di dalam Quran maka negara manakah yang dianggap sebagai Nabi Daud as, Iran atau Korea Utara yang dapat membunuh si Jalut.

Bayangkan kedua-dua negara itu telah menambahkan keupayaan nuklear mereka yang tentunya tidak disukai AS kerana dirasakan tidak dapat mengawal negara kecil si budak nakal itu.

Hakikatnya kedua-dua negara tersebut telah mengadakan hubungan diplomatik yang strategik dengan objektif menentang dominasi Barat yang diketuai AS.

Objetif AS ialah untuk melemahkan salah sebuah negara itu yang merupakan musuh sekutu Barat.

Mash ingat lagi pada Oktober 2006, Korea Utara telah mengumumkan yang ia telah menguji bom nuklear dan memasuki kelab nuklear dunia.

AS telah mengenakan sekatan ekonomi ke atas Korea Utara tetapi Pyongyang tidak memperdulikannya dan terus memajukan senjata nuklear termasuklah penghasilan bom hidrogen dan peluru berpandu yang berkeupayaan disasarkan ke bumi AS.

Namun jika AS mengambil tindakan keras terhadap Korea Utara, lain pula langkah AS terhadap Iran. Washington mengambil opsyen mengetuai resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menghentikan program nuklear Iran.

Cara yang dilakukan ini bertujuan mengasingkan Iran melalui cara diplomatik dan melancarkan bentuk serangan ketenteraan ke atas Korea Utara.

Namun amat mengecewakan kerana AS tidak mendapat gerak balas positif dari Iran sehingga pada 2015. Pada 14 Julai 2015, Rancangan Tindakan Komprehensif Bersama ditandatangani antara negara 5+1 dan Iran.

Tetapi yang peliknya selepas menandatangani perjanjian ini, Iran menjadi bertambah kuat dari aspek ekonomi dan politik. Kedua-dua pihak Arab Saudi dan entiti haram Israel bimbang berhubung dengan pembatalan embargo perdagangan ke atas Iran dan pengembangan pengaruh Iran di Timur Tengah.

Di samping itu, Iran pula kelihatan semakin akrab dalam kerjasama nuklear dengan Korea Utara. Kedua negara dilihat melakukan kerjasama pertukaran data ujian, pertukaran perdagangan dari aspek teknologi, pertukaran maklumat mengenai komponen utama dan kemas kini elemen-elemen lain dalam program peluru berpandu dan bom nuklear.

Mereka juga dikatakan berkerjasama dalam pertukaran pelancar erektor-pengangkut peluru berpandu dan data pembawa peluru berpandu dan teknologi berpandu yang lain di samping teknologi anti-peluru berpandu.

Dalam pada itu, Isreal pula sedang berusaha mengekang kekuatan tentera Korea Utara sedapat mungkin bagi mengelakkan penghasilan bom nuklear Iran atau peluru berpandu berteknologi tinggi. Tetapi harus diingat serangan menyengat Korea Utara juga akan berisiko kepada regim haram itu.

Maka pilihan yang ada bagi entiti haram Zionis ialah menjejaskan hubungan kerjasama di antar kedua syaitan kecil ini. Oleh itu secara tiba-tiba Trump merubah pendiriannya daripada Presiden AS terdahulu, Barack Obama dalam isu berkaitan dengan Iran dan Korea Utara.

Obama telah membuka dialog dengan Iran dan akhirnya menandatangani perjanjian sementara mengambil sikap keras terhadap pemimpin Korea Utara.

Trump telah memgambil pendirian terbalik kerana beberapa perkembangan yang berlaku. Misalnya Iran kelihatan lebih syaitan daripada Korea Utara dari aspek pengaruh ketenteraan dan politiknya ke atas Yaman, Syria dan Lubnan.

Kedua-dua Israel dan Arab Saudi telah mengenakan tekanan ke atas Trump supaya AS keluar daripada perjanjian 5+1 itu dan meminta AS bergerak ke arah opsyen berbentuk kekerasan.

Oleh itu meredakan sokongan Korea Utara kepada Iran mungkin merupakan harapan Trump dalam pertemuannya dengan Jong Un pada sidang kemuncak di Singapura ini.

Jika Trump berjaya mengendurkan situasi ini, maksudnya kurangkan kerjasama Korea Utara terhadap Iran, AS akan mengerakkan usaha mengenakan tekanan secara agresif ke atas Tehran sebagaimana dikehendaki Israel dan Arab Saudi.

Nampak Iran adalah negara yang lebih jahat atau kesyaitanannya di mata AS daripada Korea Utara. Kita lihatlah nanti kesan daripada sidang kemuncak ini nanti.

*Penulis adalah pensyarah Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Unisel.