Malaysia Dateline

Antara ketegasan undang-undang dan keperluan pengurusan risiko

Pelan tindakan mengatasi penularan wabak virus Covid 19 di Malaysia dilihat menggabungkan undang-undang sedia ada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Perjangkit 1988 juga Akta Polis 1967.

Terdapat juga pelbagai langkah dan saranan kerajaan melalui Kementerian Kesihatan juga Majlis Keselamatan Negara. Undang-undang berkaitan PKP sebagai contoh menghadkan seorang sahaja ahli ketua keluarga keluar membeli barang keperluan.

Manakala bagi yang berkeperluan rentas negeri hanya dibenarkan jika terdapat keperluan industri utama negara, keperluan bekerja, kematian dan sebagainya.

Pelanggaran undang-undang PKP ini akan mengakibatkan denda RM1000 juga penjara atau khidmat masyarakat beberapa jam seminggu sebagai alternatif. Manakala bagi fasa ketiga PKP pula, Jabatan Peguam Negara menyenaraikan empat lagi undang-undang baru 2020 yang berkuatkuasa di bawah Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit;yang merangkumi Perisytiharan Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelanjutan Kuasa) 2020,Langkah-langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan, Langkah-langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan No. 2 (Pindaan 2020) dan Pengkompaunan Kesalahan-kesalahan (Pindaan )2020.

Dari kacamata rangka kerja pengawal seliaan (regulatory framework) , undang-undang sebegini dilihat sebagai arahan dan kawalan (command and control) juga sebagai langkah pencegahan segera bagi menyekat pergerakan rakyat juga penjarakan sosial secara berkesan bagi pengekangan penularan virus Covid 19.Undang-undang ini juga memberi mandat kepada pelaksana undang-undang untuk menjalankan tugas berlandaskan undang-undang yang sah.

Selain itu terdapat keperluan untuk kuarantin juga memberitahu sejarah perjalanan ke negara berisiko terutamanya juga mencegah penularan berita palsu semasa pandemik bagi menjaga kesejahteraan minda rakyat.

Kaedah pengurusan risiko (risk management) juga dilihat berlaku dengan jelas dan berkesan dalam menangani virus Covid 19 ini. Risiko pula ialah sesuatu bahaya, akibat atau perkara yang boleh terjadi atau dijangka boleh berlaku walaupun masih belum berlaku.

Pengurusan risiko ialah mengenal pasti, menilai dan menyusun kepentingan risiko secara teratur bagi mengurangkan, memantau dan mengawal kemungkinan peristiwa tidak diingini berlaku. Mengambil prinsip berhati-hati (precautionary principle) terutamanya atas sains adalah antara sebab perlunya pengurusan risiko ini.

Dikatakan menurut sains,virus Covid 19 boleh terjangkit melalui air, udara, juga pelbagai jenis permukaan. Jadi langkah mencuci tangan sentiasa, juga memakai topeng muka dikatakan langkah berkesan mengekang menularnya virus tersebut yang diambil pengajarannya dari virus SARS yang lepas.

Secara dasarnya undang-undang adalah sebagai salah satu medium mengawal masyarakat (social control) bagi mengawasi sesetengah permasalahan seperti kawalan penyakit berjangkit dilihat berkesan samada secara jangka pendek atau panjang.

Selain dari undang-undang terdapat pelbagai cara lain peraturan dikuatkuasakan untuk kebaikan masyarakat. Sebagai contoh penjarakan sosial, memakai topeng muka, mengambil suhu, memakai pencuci tangan, bekerja dari rumah,dan sebagainya adalah dilihat secara langkah-langkah pengurusan risiko yang diambil.

Ketidakpatuhan kepada langkah pengurusan risiko ini tiada denda atau penjara dikenakan, tetapi lebih ke arah ‘standard’ operasi yang biasa yang perlu dipatuhi yang relevan ketika pandemik ini.Pengurusan risiko ini diambil kerana risiko penyakit berbahaya virus Covid 19 tersebut.

Pengurusan risiko adalah amalan biasa dalam sesuatu organisasi yang terlibat dengan operasi yang melibatkan perkara yang berbahaya juga mengancam nyawa seperti fasiliti hospital, makmal, operasi petrol dan gas, nuklear dan seumpamanya.

Namun pada industri atau sektor yang dilihat kurang berisiko seperti pencucian,pendidikan, kawalan anak murid di luar kelas dan sebagainya, hal ini tiada ‘standard’ operasi prosedur dan mungkin kurang diambil berat.

Sebagai contoh di United Kingdom sebagai langkah mengurangkan risiko kecederaan pelajar sewaktu makan dan bermain ketika rehat, maka sekolah yang di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan perlu menyediakan penjaga tengahari yang digaji secara ikut jam untuk memantau dan melihat pelajar supaya tiada isu kecederaan yang boleh menyebabkan sekolah disaman penjaga.

Jika ada kecederaan, sekolah akan memaklumkan kepada penjaga secara bersurat secara amalan biasa.Selain itu manual pengurusan risiko segala jenis sektor atau pekerjaan juga ada secara bertulis tatacara pengurusan risikonya, tidak kira samada sektor itu berbahaya atau tidak.

Perlaksanaan sesuatu perkara secara undang-undang yang mandatori itu perlu demi keberkesanan segera sesuatu undang-undang bagi langkah pencegahan.Namun kita melihat perlaksanaan juga strategi rangka kerja pengawal seliaan (regulatory framework) juga telah berubah, bukan sahaja melalui penggubalan undang-undang sahaja tetapi mengambil kira pelbagai pihak dan isu seperti hak asasi manusia, penglibatan umum dan sebagainya dan tidak bersikap reaktif sahaja terhadap sesuatu perkara.

Ini dilihat sebagai elemen demokrasi dalam undang-undang.Selain itu risiko juga perlu dikawal selia sebagai salah satu cara govenan baru (new governance) selain perlaksanaan undang-undang.

Menurut rangka kerja pengawal seliaan, undang -undang yang dilihat sebagai arahan dan kawalan juga pengurusan risiko sebagai salah satu strategi mengawal selia risiko dilihat saling melengkapi satu sama lain.

Kadang kala undang-undang perlu tegas untuk kepatuhan padanya, manakala pengurusan risiko dilihat jika diguna pakai dengan memberi penerangan jelas akan keperluan juga ‘standard’ operasi prosedur, tanpa perlu denda dan penjara juga masih dipatuhi.

Disarankan pada masa-masa akan datang setiap institusi contohnya pendidikan pra sekolah , sekolah menengah juga menitikberatkan akan kepentingan pengurusan risiko ini juga sektor lain.Langkah ini dilihat sebagai langkah proaktif sebelum tindakan undang-undang boleh diambil.

Rangka kerja pengawal seliaan yang bagus menjamin govenan yang baik untuk sesuatu institusi dengan strategi yang bersesuaian dengan permasalahan yang dihadapi.Keperluan kepada undang-undang dalam kes sebegini dilihat hanya perlu jika tiada kepatuhan dan matlamat asal tidak tercapai.

* Penulis merupakan Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).