Malaysia Dateline

Antara perkongsian kebaikan dan keburukan-Husam titipkan nasihat buat PU Syed

Susulan perkongsian video fitnah oleh PU Syed, calon Pakatan Harapan Husam Musa menitipkan pesanan dan nasihat buat Syed Mohd Bakri Syed Ishak.

Pesanan yang penuh dengan kata-kata nasihat dan berhikmah itu dikongsi Husam untuk tatapan PU Syed.

“Ketika anda berkereta, anda menabur bulu-bulu ayam sepanjang perjalanan menerusi jendela.

“Bulu-bulu itu melayang-layang dibawa angin, lalu hinggap di sana sini.

“Andaikata anda ingin mengutip semula jutaan bulu-bulu tadi, ia sebuah kesukaran yang mungkin berakhir dengan kekecewaan.

“Demikianlah dosa fitnah dan penyebarannya.

“Bertebaran, hinggap, dan mustahil utk mengutip setiap satu darinya,” kata Husam.

Husam boleh menerima menerima permohonan maaf PU Syed atas keterlanjuran beliau berkongsi clip video fitnah Raja Petra Kamarudin.

Namun, katanya kesan dosa perkongsian fitnah itu yang telah menghinggapi orang lain, di luar kemampuan beliau untuk memaafkannya.

“Ia bidang kuasa Maha Pencipta.

“Ketika seseorang berkongsi sesuatu – ia dilakukan berasaskan kecenderungan orang itu kepada orang yang diaibkan. Kecenderungan memandang baik atau buruk.” kata Husam.

‘Pendedahan menarik’ mengenai keburukan, katanya hanya boleh dilakukan kerana hati orang itu cenderung memandang buruk orang yang diaibkan itu.

Justeru, kata Husam jika permohonan maaf PU Syed datang dari hati yang benar, bolehkan pula beliau berkongsi sesuatu yang baik mengenai dirinya dalam laman FB beliau?

“Kebaikan, dan kebaikan-kebaikan saja yang mampu menghapuskan keburukan. ‘Tutuplah kemarahanmu’ – maksud Al Qur’an,” tulis Husam.

Dalam pada itu, PU Syed turut meninggalkan komen di Facebook Husam dengan mengucapakan terima kasih atas respons permohanan maafnya itu.

“Jazaakumullah Khairan Jaza’ Tn Hj Husam Musa atas respond permohonan maaf saya semalam..InsyaAllah mana yg baik akan dijadikan tauladan yang buruk akan dijadikan sempadan,”komen PU Syed.

Rata-rata netizen memuji sikap Husam yang berakhlak mulia, namun ramai yang mendesak beliau meneruskan tindakan undang-undang terhadap PU Syed.

“Terbaik Dato’. Memaafkan itu baik, tapi beri pengajaran dan pelajaran kepada yang lain…sewajarnya disusuli dengan SAMAN,” komen Zahari Othman.

“Terbaik Dato.. hanya berkongsi kebaikan yg dpt menghapuskan keburukan (fitnah).. insyaallah. Rasanya tdk sukar utk PU Syed berbuat demikian,” komen Mohd Riza.

“Perlu saman. Ramai dah yg percaya dengan fitnah tersebut..,” komen Abu Bakar Jaafar.