Malaysia Dateline

Antara pulai penipu bukit dan manusia tidak bercakap benar

Meor Razak di lokasi sebahagian Hutan Simpan Segari Melintang yang musnah akibat aktiviti kuari.

Debu berterbangan menyergah kami sekitar jam 10.30 pagi pada 15 Ogos lalu. Pokok dan tumbuhan renek di kiri kanan jalan sudah habis dibedak tanah.

Mereka berselimut debu sehingga ke paras setinggi hampir tingkat tiga bangunan. Sepanjang perjalanan, kami berselisih dengan sejumlah lori menderu garang membawa muatan tanah.

Ironinya, kami bukan menyusuri jalan di tengah kota sebaliknya di rimba belantara yang dipanggil ‘hutan simpan’ jika dilihat di atas peta.

Pelitup separuh muka yang dipakai musim Covid-19 sudah ada fungsi tambahan apabila berada di lokasi yang sedang dibunuh kepelbagaian ekosistemnya.

Kami berada dalam kawasan Hutan Simpan (HS) Segari Melintang yang merupakan baki hutan bukit pesisiran pantai yang semakin lenyap di negara ini.

Semasa taklimat oleh Penyelidik Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman di perkarangan Masjid Al-Khairiah, Kampung Sungai Batu di Jalan Changkat Jering-Pantai Remis, saya ditunjukkan keratan peta tahun 1970 yang memperlihatkan luasnya HS Segari Melintang.

Namun, hanya 50 tahun selepas itu, litupan HS Segari Melintang yang awalnya seluas 4,700 hektar sudah semakin mengecil dan terputus akibat pembukaan kuari, perternakan dan tanaman kelapa sawit.

Aktiviti kuari dalam Hutan Simpan Segari Melintang memusnahkan ekosistem alam semulajadi.

Habuan tauke

Tinjauan Malaysia Dateline di HS Segari Melintang di mukim Pengkalan Baru kali ini turut disertai Timbalan Pengerusi Persatuan Aktivis Sahabat Alam Malaysia (KUASA), Noor Ismady Ahmad Radzuan.

Beliau yang juga digelar Otai Manjung membawa dron yang memudahkan lagi cerapan dari angkasa secara lebih menyeluruh dalam menyelami malang menimpa HS Segari Melintang.

Dalam perjalanan menuju ke lokasi sebahagian kompartment HS itu yang sedang digasak dengan ketamakan manusia, kami singgah sebentar meninjau dua alur anak sungai yang sudah kontang.

Hanya dari fizikalnya dengan dasar tanah berlekuk dan beberapa tumbuhan yang lazimnya ada di kawasan sungai masih tersisa. Dari segi ekosistemnya sudah mati diganti pokok akasia yang sifatnya angkuh mendominasi.

Meor Razak memberitahu kunjungannya tiga tahun lalu mendapati anak sungai itu masih ada. Sekarang, aliran jernih itu sekadar tinggal kenangan.

Bagi Meor Razak, usaha untuk memulihkan kembali kawasan itu amat sukar tanpa kesungguhan pihak berwajib.

‘Kembara kemusnahan’ kemudiannya diteruskan ke kawasan kompartmen 13, 14, 15 dan 16 yang sedang ditarah bagi tujuan pembukaan kuari.

Sepohon Pulai Penipu Bukit (Alstonia macrophylla) tampak sihat berdiri menyambut kami yang keluar dari kenderaan yang diparkir. Mungkin belum sempat tua, pokok itu bakal diranapkan jentolak syarikat kuari apabila menyaksikan agresifnya kerja-kerja yang sedang berjalan.

Tidak jauh dari kami, dua pengawal di pintu utama tapak kuari itu hanya memerhati sambil memantau lori yang sibuk keluar masuk.

Pulai Penipu Bukit saksi yang boleh bercakap benar tentang nasib menimpa HS Segari Melintang sekarang ketika desakan pewartaan sebagai Taman Negeri Perak sejak dua tahun lalu masih tidak dilunaskan kerajaan negeri.

Sebaliknya, satu demi satu kompartment HS di kawasan hijau itu telah dan sedang musnah ekosistem hutannya jadi habuan tauke kuari batu granit dan pengambilan tanah merah.

Aliran air terjun sudah mati manakala bukit ini menanti masa untuk diletup.

 

Noor Ismady dari KUASA merenung kemusnahan Segari Melintang yang sebelum ini indah dilitupi kehijauan.

Menyembah bumi

Dari mata dron dengan paling maksimum di ketinggian 461 meter menyerlahkan apa yang dibimbangi selama ini. Kerja-kerja kuari sedang mengganas dengan tumbuhan hijau termasuk spesies kayu keras musnah menyembah bumi.

Timbul persoalan bagaimana aktiviti kuari boleh diluluskan dalam Hutan Simpan Kekal (HSK) walaupun bercanggah dengan ketetapan Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) ke-70 pada 2014.

Ketetapan ketika itu agar semua negeri mengambil inisiatif mengelakkan sebarang kelulusan kegiatan perlombongan dan kuari dalam kawasan HSK jelas dilanggar jika kita lihat keadaan Segari Melintang.

Hampir sejam kami bertiga menatap kemusnahan di kawasan HS Segari Melintang yang cedera parah ditarah dengan beberapa lori pengangkut tanah sibuk menjarah.

Dari puncak bukit yang sudah gondol sehingga ke alur sungai kontang mencerminkan rakusnya manusia mengeksploitasi hutan serta pada masa sama cuainya penguasa negeri memelihara khazanah alam semulajadi kurniaan Ilahi.

Kelihatan sejumlah bongkah batu besar tersusun di dua lokasi yang saling berdekatan membayangkan wujudnya aliran air terjun sebelum ini.

Malah, ada bongkah batu yang masih basah menandakan punca air masih lagi nazak bernyawa. Namun, dengan persekitarannya yang sudah bertanah merah, semuanya bakal tamat riwayatnya dalam masa terdekat.

Dari puing kemusnahan air terjun itulah mengalir longlai sedikit air yang kemudiannya bergenang tohor akibat disekat laluannya untuk terus mengalir ke laut. Dapat dilihat jejak Landak Raya atau Malayan Porcupine yang dipercayai baharu sahaja singgah di situ.

Maklumat dari rakan saya seorang bekas tentera, Mohd Azri memberitahu melihatkan saiznya hampir sepanjang pen, Landak Raya (Hystrix brachyura) itu dianggarkan seberat antara 15 hingga 20 kilogram.

Tentunya perit koloni Landak Raya di habitat itu mahu mencari kulit kayu, serangga, buah dan biji hutan yang gugur sebagai makanannya di kawasan yang sudah berubah menjadi padang jarak padang terkukur.

Masih selamatkah sarang mereka di lubang yang digalinya atau di kawasan berbatu atau di lubang pokok dan jaringan akar ketika HS Segari Melintang bukan lagi syurga buat mereka?

Penulis dan Meor Razak di kawasan yang asalnya merupakan badan sungai yang mengalir dari air terjun.

 

Tapak haiwan dipercayai Landak Raya ditemui berdekatan takungan air tohor.

Menggaru pipi

Menyaksikan kemusnahan terpampang di mata, Meor Razak meluahkan rasa kecewa terhadap tahap pengurusan hutan serta pemantauan jabatan dan agensi kerajaan berkaitan dalam memelihara kelestarian saki-baki belantara yang ada.

“Ini hanya kesan buruk yang kita dapat lihat pada alur sungai. Kalau kita lihat di bukit ini, aliran air terjunnya sudah mati. Tiada zon penampan untuk melindungi alur dan badan air.

“Kita belum lihat lagi keseluruhan keadaan kerja-kerja penyediaan tapak kuari ini. Di sini ada saki baki aliran air semulajadi yang malangnya akan dikambus seperti yang kita lihat sebelum ini,” keluhnya.

Beliau turut mempersoal sejauh mana Jabatan Alam Sekitar (JAS) memantau langkah-langkah mitigasi sebelum projek pembukaan kuari itu diluluskan.

“Setiap projek mesti ada EIA (Penilaian Kesan Alam Sekitar) yang lengkap dengan langkah-langkah mitigasi. Tapi adakah JAS memantau kerja-kerja mitigasi yang telah dilakukan?

“Saya rasa tidak. Kalau kita lihat ekosistem sungai sudah hancur. Itu yang kita minta sangat JAS ambil tindakan,” tegasnya.

Tidak cukup dengan aktiviti kuari di Kompartmen 13, 14, 15 dan 16, Meor Razak memberitahu sudah ada lagi permohonan untuk tujuan sama di Kompartmen 19, 20 dan 21 yang terletak dalam HS Tanjung Hantu.

Beliau bimbang kelulusan di tiga Kompartmen seluas kira-kira 122 hektar di HS Tanjung Hantu itu akan memusnahkan spesies Balau Laut (Shorea glauca) yang terkaya di Malaysia selain merosakkan kelestarian kawasan semulajadi pesisiran pantai yang menjadi lokasi pendaratan penyu.

Dari bukit HS Segari Melintang yang gondol diteres itu, kami dapat melihat sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) semakin menghampiri kami.

“Apa buat?” tanya ringkas pemandu kenderaan itu yang tampak seperti tauke mungkin berusia lewat 40-an.

Kami hanya beralasan mahu mencari air terjun tetapi individu itu sambil menggaru pipi sedikit tembamnya seketika bersahaja menjawab tidak pernah nampak air terjun di kawasan itu!

Sekali lagi, Pulai Penipu Bukit, Landak Raya serta segala khazanah flora dan fauna di Hutan Simpan Segari Melintang tidak akan menipu tentang musibah yang sedang meragut nyawa mereka.

Hanya manusia yang tamak dengan restu penguasa yang culas sahaja berterusan menipu rakyat Malaysia bahawa ‘kesihatan’ hutan simpan di negara kita baik-baik sahaja.

Keratan peta tahun 1970 memaparkan keluasan Hutan Simpan Segari Melintang.

 

Kawasan Hutan Simpan Segari Melintang yang masih hijau bakal ditarah rakus jika kerajaan negeri tidak menghalang eksploitasi hutan.