Malaysia Dateline

Antara rakaman Konvensyen AMANAH Nasional dan Gegar Vaganza

Pagi hari terakhir Konvensyen Nasional 2019 AMANAH lalu, saya dan rakan setugas Mingguan Amanah, Siti Nur Zawani Miscon kebetulan satu lif dengan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad naik ke tingkat 7 Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam.

Pengarah Strategi AMANAH itu sebelum masuk ke lif, berjalan seriringan dengan Pengarah Pilihan Raya parti, Datuk Wira Dr Mohd Hatta Md Ramli yang seperti biasa mudah berseloroh.

Berpeluang menyapa dan bersalaman dengan kedua-dua pimpinan itu, Dr Dzulkefly kemudiannya berdiri di sisi saya dan mesra berbual.

Sempat juga saya bertanyakan perasaannya ketika perwakilan Kedah, Ustaz Nasir Zakaria menegurnya sehari sebelum itu semasa sesi perbahasan perwakilan.

Sepertimana dalam gambar spontan yang dirakamkan jurugambar Wan Zahari Wan Salleh, begitulah Dr Dzulkefly. Sejak berada dalam Pas lagi, wataknya ialah pemimpin yang masih boleh ‘cool’, tersenyum dan berlapang dada tetapi tiba gilirannya berhujah bersemangat menyusun kata.

Dari dalam lif hingga ke tepi pintu dewan konvensyen, Menteri Kesihatan yang berbaju batik jingga itu antara lain dengan nada serius membangkitkan rasa kecewa terhadap liputan laporan dua portal berita mengenai konvensyen.

Sambil menunjukkan kepada saya, dua pautan berita yang daripada tajuk sahaja jelas berkonotasi negatif terhadap AMANAH, Dr Dzulkefly memberitahu, beliau akan menggunakan ruang ketika sesi ucapan penggulungan hari itu untuk memberikan pencerahan yang sepatutnya.

Apa yang disebutkan Dr Dzulkefly sebenarnya itulah dilema AMANAH sebagai parti berbilang kaum yang cuba membawa gagasan Rahmatan Lil Alamin. Rata-rata media ‘tidak berminat’ menulis tentang AMANAH sebab bagi mereka tiada nilai berita.

Dalam usianya empat tahun dan matang dalam pencak politik tanah air dengan kedudukannya sebagai komponen parti kerajaan Pakatan Harapan (PH), media yang dilabel sebagai arus perdana entah dengan perancangan atau tidak dilihat memencilkan AMANAH.

Kebetulan, selain AMANAH, dua lagi parti iaitu Umno dan PKR juga sedang mengadakan perhimpunan tahunan. Namun, televisyen masih memberikan liputan lebih luas kepada Umno walaupun sudah menjadi parti pembangkang.

Apa lagi dengan takrifan ‘nilai berita’, Kongres Nasional PKR yang tahun ini menyaksikan perbalahan terbuka dilihat lebih banyak mendapat sorotan sebahagian besar media.

Mari kita lihat liputan Berita Harian (BH), Sinar Harian (SH), The Star dan New Straits Times (NST) pada 9 Disember iaitu sehari selepas Konvensyen AMANAH. Muka depan empat akhbar itu tidak menonjolkan pun Konvensyen AMANAH sebaliknya ditenggelamkan dengan krisis PKR.

Di dalam helaian BH, tiga halaman penuh tentang Kongres PKR. Minda Pengarang pun menyentuh tentang kongres parti berusia 20 tahun itu. Liputan penuh tentang Konvensyen AMANAH hanya dua muka. Itu pun di muka 12 dan 13 selepas halaman Minda Pengarang dan Rencana.

Ruang rencananya pula memuatkan dua artikel. Satu tentang pertembungan Anwar dan Azmin. Satu lagi menonjolkan Umno kembali menjadi suara Melayu.

SH hari yang sama juga memberi ruang empat halaman penuh tentang Kongres PKR kemudiannya diselangi satu halaman penuh iklan, baru kelihatan laporan mengenai Konvensyen AMANAH hanya dalam dua muka.

Ketika pemimpin AMANAH juga ada yang menjadi pembeli setia The Star, akhbar yang dikenali di belakangnya adalah suara MCA itu memperuntukan dua mukasurat tentang Kongres PKR termasuk analisis daripada pengarang, Joceline Tan.

Konvensyen AMANAH? Tiada apalagi analisis. NST pada hari sama juga memuatkan dua halaman untuk PKR tetapi hanya satu muka tentang Konvensyen AMANAH.

Banyak wacana matang lagi kritis tentang isu nasional dan parti sepanjang Konvensyen AMANAH tidak sampai kepada rakyat.

Jadi, apa pemimpin, ahli dan penyokong AMANAH harus sedar? Menulislah demi menyebarkan kelebihan dan kekuatan parti. Tidak perlu haraplah media lain menulis tentang kebaikan dan kekuatan kita.

Buatlah kupasan pasca konvensyen sebagai permulaan. Mingguan Amanah dan portal Malaysia Dateline boleh menampung. Apabila disiar, hebah dan kongsikanlah.

Jangan berita tentang parti dalam angle positif tetapi tidaklah memuji melambung yang sudah tersiar terbiar tetapi sejurus BH siar, boleh pula pautan beritanya dikongsi di laman-laman rasmi Facebook pemimpin AMANAH.

Walhal, media lain hanya lebih minat menulis hal sensasi parti yang mengundang persepi negatif awam kepada parti. Ibarat satu titik hitam pada sekeping kertas putih A4. Titik hitam itulah yang diperbesar sehingga tenggelam cerita yang putih.

Sebenarnya, banyak perbincangan dan wacana menarik sepanjang perbahasan daripada pimpinan dan perwakilan sepanjang konvensyen AMANAH tidak dilapor pun oleh kebanyakan media.

Kita pun tidak boleh salahkan mereka 100 peratus sebab mereka bukan ejen parti walaupun dalam masa sama, boleh pula banyak liputan positif diberi kepada Persidangan Agung Umno!

Ketika saya di bilik media konvensyen bukan sekali rakan-rakan media dari syarikat media besar mengomel, “takde apalah nak tulis.” Seorang pemberita RTM pada hari terakhir konvensyen pun, saya sendiri lihat sudah berlalu pergi angkut beg jam 2 petang.

Nampak? Bagaimana mesej dan pesan gagasan Rahmat Untuk Semua mampu membumi? Bukan tugas mutlak mereka juga untuk mencanangkan idea dan teguran membina demi parti dan negara, sebab itu bukan “berita” bagi kebanyakan media.

Akhirnya, kalau bukan orang AMANAH yang menulis tentang parti sendiri, mahu harap siapa lagi? AMANAH juga perlu tambah pekerja media untuk parti. Menulis laporan berita apa lagi menganalisis dengan merakam video tidak sama bebannya.

Tidaklah menang tangan dan terdaya akal untuk hanya dua wartawan dan pengarang saling bergilir memproses 16 ucapan pimpinan sepanjang enam jam hari terakhir konvensyen berlangsung ketika lelah pada hari sebelumnya belum surut lagi.

Jadi, sama-samalah kita menyumbang bakti selain gerak kerja ke lapangan tentunya. Menulis juga tidak perlu berbunga bertunas bahasa. Itu serahkan sahaja kepada sejumlah ‘otai’ yang tekal konsisten lagi istiqamah menulis.

Tulislah dari hati dan akal budi diadun dari pemerhatian dan pengalaman tuan puan berorganisasi. Peng+ALAM+an itulah mematangkan fikiran yang kemudiannya dapat dicurah dalam tulisan. Baca dan tulislah.

Majoriti orang awam di luar sana bukan ramai pun mahu melihat kembali rakaman konvensyen AMANAH berjam-jam yang ada di Facebook. Kalau rakaman Youtube Gegar Vaganza, lainlah. Dua hari berlalu pun, masih trending nombor tujuh dalam Youtube! 

*Artikel ini kali pertama diterbitkan dalam Mingguan Amanah Bil 181, 15-21 Disember 2019.

AMANAH satu-satunya parti dalam PH yang mempunyai sayap wanita muda yang berbilang kaum.