Antara revolusi, Umno dan maruah

Antara revolusi, Umno dan maruah

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kejatuhan Raja Louis XVI ekoran tercetusnya Revolusi Peranchis yang telah bermula sekitar 1789 dan berakhir pada 1799 memperlihatkan beberapa sebab utama yang patut kita belajar daripadanya.

Pertama, dari sudut ‘budaya’ kita melihat bagaimana munculnya golongan yang mula meninggalkan tradisi lama yang mempercayai sesuatu itu tanpa sebarang soal jawab. Golongan ini telah digantikan oleh generasi yang mahukan jawapan secara ilmiah kepada isu dan permasalahan.

Kedua, munculnya golongan marhaen yang mula berpengaruh dikenali sebagai ‘ bourgeois’. Mereka menuntut hak politik yang sama seperti golongan agama dan bangsawan. Mereka ini menjadi sangat kuat kerana dilihat menentang ketidakadilan.

Ketiga, hutang negara yang begitu banyak dan tidak dapat dibayar oleh kerajaan. Untuk menyelesaikan hutang-hutang ini, kerajaan mengenakan pelbagai jenis cukai terhadap rakyat.

Keempat, kehidupan mewah keluarga pemerintah dan pegawai sekelilingnya. Siapa sahaja yang mempertikaikan atau menentang pemerintah akan diambil tindakan dengan dijatuhi hukuman yang berat.

Revolusi Peranchis berakhir dengan tamatnya kuasa raja dan Raja Louis XVI akhirnya dijatuhi hukuman bunuh.

Sesungguhnya Revolusi Peranchis mempunyai banyak persamaan dengan apa yang sedang berlaku dalam Umno.

Ahli-ahli kini sudah mula mempersoalkan tindak tanduk pemimpin Umno yang mencurigakan. Ramai dikalangan mereka hidup mewah dan di luar kemampuan sepatutnya. Malah ahli-ahli mula mempertikaikan kewibawaan dan integriti presiden Umno. Ahli mahukan jawapan-jawapan konkrit kepada isu-isu yang dikaitkan dengan presiden Umno dan sehingga hari ini jawapan-jawapan yang diberikan oleh presiden Umno dilihat sebagai alasan yang tidak munasabah. Zaman di mana ahli menerima sesuatu tanpa berfikir panjang sudah berlalu.

Pemimpin-pemimpin Umno yang ada selalu mendakwa bahawa mereka memperjuangkan nasib bangsa Melayu. Namun pada hakikatnya ini hanyalah retorik semata-mata kerana mereka hanya memperjuangkan diri mereka dan keluarga mereka sahaja. Ahli-ahli biasa dijadikan seperti hamba abdi untuk menjayakan objektif dalam mendapatkan kedudukan dan kekayaan. Kini ahli-ahli biasa Umno telah sedar bahawa mereka telah ditipu dan dipermainkan oleh pemimpin UMNO sendiri.

Kelima, kita semua maklum bahawa negara kita dibelenggu dengan masalah kewangan sekarang terutamanya isu berkenaan 1MDB. Seperti kerajaan Peranchis yang memperkenalkan cukai-cukai ke atas rakyat bawahan, kerajaan Najib telah membebankan rakyat dengan GST.

GST ini hanya indah khabar dari rupa. Rakyat melihat bahawa mereka ditipu setelah GST diperkenalkan. Harga barang semakin naik dan rakyat hidup dalam serba kesusahan.

Rakyat kini sudah bosan melihat para pemimpin dan keluarga pemimpin yang hidup bermewah-mewah sedangkan nasib rakyat miskin tidak dibela. Kemarahan rakyat sudah sampai di kemuncaknya. Apakah UMNO boleh menghalang tiupan angin revolusi yang bakal membadai tembok korupsi parti yang semakin dimamah usia ini?

Ahli Umno kini melihat maruah mereka semakin tidak dipedulikan. Bangsa Melayu sudah tidak mempunyai maruah lagi apabila bahtera UMNO ditenggelami oleh rasuah yang semakin menggila. Kebenaran sudah tidak punya tempat kerana wang dan harta adalah segalanya bagi pemimpin-pemimpin yang tidak mempunyai harga diri.

Revolusi semakin hampir!

* Penulis Kamarulazman Habibur Rahman adalah Presiden Gabgungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM).

CATEGORIES