Antara Strategi Najib dan Muhyiddin

Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri)  dan Presiden Datuk Seri Mohd Najib Razak.Diantara pengamatan paling ketara kesan dari Perhimpunan Agong Umno (PAU) 2015 yang baharu sahaja berakhir beberapa hari lepas, ianya mempamirkan bagaimana utuhnya sokongan akar umbi ahli Umno terhadap kepimpinan Presiden Datuk Seri Mohd Najib Razak walaupun berdepan dengan berbagai cabaran yang dianggap begitu getir sekali.

Jarang sekali berlaku dalam sejarah Umno tentangan terhadap kepimpinan tertinggi parti tersebut berlaku secara terbuka dan lebih menarik lagi apabila tentangan tersebut berpunca dari sumber dalaman yang pengaruhnya tidak boleh diperkecilkan.

Ahli Umno dan juga kumpulan yang tidak mempunyai kepentingan dalam parti tersebut memerhatikan dengan penuh minat perancangan strategi yang menjerumus kepada percaturan persepsi sebelum, ketika dan selepas PAU diantara dua tokoh penting iaitu Presiden dan Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Apabila Majlis Tertinggi (MT) Umno membuat keputusan untuk menyimpang sedikit dari kelaziman yang menyaksikan ketua pergerakkan masing-masing merasmikan perhimpunan ketiga-tiga sayap iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri itu, sebenarnya strategi politik untuk mengekang dan mengawal keadaan perhimpunan supaya tidak diselubungi oleh pergeseran dalaman yang boleh mencacatkan objektif utama PAU.

Mungkin ramai yang tidak bersetuju dengan keputusan MT yang tidak mengikut tradisi tetapi hakikatnya dalam dunia politik, strategi harus disusun demi kelangsungan objektif yang ditetapkan.

Oleh kerana keputusan tersebut tidak mencabuli peraturan PAU tetapi secara tersiratnya dianggap menongkah arus tradisi dan etika PAU, maka sukar bagi pihak yang tidak bersetuju membuat bantahan kerana tidak mempunyai asas perundangan.

Jika dikenang kembali suasana ketika PAU bersidang maka sudah terbukti strategi mengguna ketua pergerakkan dan bukannya Timbalan Presiden sebenarnya telah memberi kesan positif kepada persepsi kesepakatan Umno kerana kritikan negatf terhadap kepimpinan tertinggi hanya berlaku dalam tahap yang minimum. Persepsi kesepakatan dalam Umno ketika PAU adalah begitu kritikal bukan sahaja untuk ahli parti tersebut tetapi juga orang ramai yang memerhati setiap peristiwa dan detik yang berlaku dalam PAU.

Persepsi kesepakatan yang kuat adalah penting untuk memberi keyakinan kepada penyokong dalam menghadapi cabaran politik terutama sekali apabila diuji seperti dalam pilihan raya umum (PRU).

Apabila satu perhimpunan telah dianjurkan di Kelab Sultan Sulaiman sehari sebelum PAU bermula, kaedah tersebut merupakan pengamalan strategi bagi mengurangkan impak apabila Timbalan Presiden kehilangan landasan untuk berucap dalam PAU.

Jika keputusan MT dianggap menongkah arus tradisi PAU, begitu juga perhimpunan di Kampung Baru itu dianggap sebagai unik kerana tidak mengikut tradisi yang lazim diamalkan tetapi dari segi peraturan PAU atau parti tindakan tersebut tidak bercanggah.

Begitu juga apabila Presiden menghulurkan salam persahabatan dalam ucapan perasmian beliau dihadapan Timbalan Presiden, Naib Presiden dan mantan Presiden yang merupakan pengkritik utama Presiden, maka salam persahabatan tersebut merupakan strategi yang pintar kerana apa jua tindak balas daripada pihak sasaran, manfaat yang diraih sudah pasti memihak kepada pengamal strategi iaitu Presiden.

Dalam menjawab strategi salam persahabatan Presiden, Timbalan Presiden mempunyai tiga pilihan strategi. Timbalan Presiden boleh memilih untuk berdiam diri, menyahut atau menongkah salam tersebut dan seperti yang diketahui beliau telah memilih melaksanakan pilihan strategi terakhir.

Kesan persepsi yang diperhatikan terbit dari pengamalan strategi ini adalah Presiden amat mendahului kepentingan parti walaupun mempunyai ruang untuk mengkritik secara maksimum terhadap kumpulan Timbalan Presiden.

Dalam hal strategi pilihan Timbalan Presiden pula mempamirkan beliau tetap berpegang kepada prinsip berada di pihak yang benar apabila beberapa isu mengenai Presiden dipersoalkan secara terbuka.

Tetapi satu perkara yang menarik adalah strategi salam persahabatan Presiden diulangi ketika ucapan pergulungan pada hari terakhir PAU walaupun salam tersebut di selang seli dengan ungkapan amaran kepada kumpulan yang dianggap mampu gugat kestabilan UMNO.

Dengan kehadiran diatas pentas kedua-dua tokoh iaitu Timbalan dan Naib Presiden ketika salam persahabatan dihulur buat kali kedua, maka langkah seterusnya bergantung sepenuhnya kepada kedua-dua mereka sama ada untuk menolak, berdiam diri atau menerima salam tersebut.

Pada ketika ini ahli UMNO ternanti-nanti apakah strategi balas yang bakal diamalkan sama ada oleh Timbalan atau Naib Presiden. Tetapi apa yang pasti adalah akar umbi parti tersebut mahu melihat pergeseran dalaman dihentikan dengan segera.

Ini adalah kerana segala kekuatan parti tersebut diperlukan dalam menghadapi PRU14. Dalam dunia politik persepsi adalah segala-galanya dan kadang kala persepsi disamakan dengan kenyataan.

Dalam hal ini mengawal persepsi adalah begitu penting sekali dan hanya dapat dilakukan dengan berkesan jika startegi yang diamalkan bersesuaian pada masa dan tempatnya.

TAGS