Malaysia Dateline

Antara tangisan Rohingya dan Ebit Lew

Dua peristiwa penting dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang boleh mengubah falsafah keluhuran undang-undang adalah isu Rohingya dan isu Ebit Lew. Kedua-dua isu ini nampaknya memberikan kesan luar biasa kepada netizen dengan pelbagai komen dan ulasan diberikan.

Isu Rohingya ini bermula apabila kerajaan Malaysia didakwa telah tidak membenarkan bot Rohingya ini mendarat di Langkawi dan menghalau mereka keluar. Dipercayai sebelum PKP ini bermula, bot-bot ini telah mendarat secara rahsia dengan bantuan pengkhianat negara.

Isu ini bertambah panas apabila Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di sekitar pasar borong Selayang. Ada laporan yang menyatakan pihak kerajaan hanya membekalkan makanan kepada warganegara sahaja dan membiarkan warga asing termasuk orang Rohingya ini kelaparan. Adalah menjadi maklumat umum bahawa ramai keluarga Rohingya ini tinggal di sekitar pasar borong kerana mereka mengambil upah bekerja di sana.

Walau bagaimanapun, kerajaan telah menafikan hal tersebut tetapi akibat daripada isu itu pelbagai audio dan video disebarkan antara lain bertujuan untuk mewujudkan kebimbangan dan menyemarakkan kebencian rakyat terhadap Rohingya. Wujud juga bahan-bahan palsu yang disebarkan yang boleh membangkitkan emosi dan amarah rakyat terhadap Rohingya sehingga hilang nilai-nilai kemanusiaan dalam jiwa rakyat Malaysia.

Anehnya, pada akhir tahun 2016 dahulu UMNO dan PAS telah sama-sama membuat himpunan solidariti untuk kaum Rohingya. Ramai kaum Rohingya yang berada di Malaysia telah menghadiri himpunan berkenaan. Malah, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sendiri telah mengumumkan beberapa inisiatif bagi membantu dan memajukan kaum Rohingya di Malaysia.

Menurut data daripada Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) terdapat lebih daripada 100 ribu kaum Rohingya yang telah mendapat kad UNHCR di Malaysia.

Kini pemimpin yang sama pula telah menolak untuk memberikan solidariti kepada kaum Rohingya. Apakah Rohingya sudah menjadi alat politik untuk mereka mengekalkan kuasa dan solidariti yang diberikan dahulu hanya gimik politik semata-mata?

Apa yang lebih mengejutkan adalah pendedahan yang diberikan oleh Adun Kuah, Langkawi, YB Mohd Firdaus Ahmad yang menyatakan kemungkinan ada pihak-pihak tertentu yang meraih keuntungan daripada aktiviti pemerdagangan manusia sehinggakan bot kecil yang membawa pendatang Rohingya ini berjaya mendarat di pantai Langkawi tanpa dapat dikesan oleh radar tentera.

Isu kedua yang menjadi bualan netizen adalah berkaitan aktiviti kebajikan yang dibuat oleh Ebit Lew yang menyentuh perasaan rakyat. Beliau telah membelanjakan berjuta-juta ringgit wangnya sendiri dan wang sumbangan orang ramai untuk aktiviti itu. Namun, kegiatannya itu dicemburui oleh sesetengah pihak termasuk para agamawan sehingga mereka tergamak mengeluarkan pelbagai kenyataan yang bersifat buruk sangka terhadap Ebit Lew.

Dakwah yang dibuat Ebit Lew itu melampaui aktiviti biasa yang dibuat oleh ustaz masjid. Jika selama ini kebanyakan agamawan ini hanya berada di zon selesa dengan ‘salam sampul’ memberikan kuliah di masjid dan pejabat. Jadual ceramah para ustaz ini penuh bermula daripada kuliah subuh, dhuha, zohor, maghrib sehinggalah ceramah politik selepas waktu isyak.

Bukan itu sahaja, ceramah politik mereka pula penuh dengan kata-kata kesat dan makin hamun kepada pihak lawan. Pelbagai fatwa politik dikeluarkan termasuklah hukum wajib syarie berbohong bagi meraih undi pilihan raya. Selain itu, mereka juga menjual pelbagai lagi makanan dan peralatan atas nama sunnah yang dirukyahkan.

Manakala, dakwah Ebit Lew pula jauh berbeza dengan dakwah para ustaz yang menunggang agama. Ebit Lew jarang sekali menuturkan hadis-hadis dalam matan bahasa arab atau pun membaca kitab-kitab besar dalam ceramahnya.

Beliau lebih banyak berjumpa dengan sasaran dakwah di lapangan daripada golongan LBGT, gelandangan, pelacur, orang miskin dan fakir tanpa mengira agama dan bangsa. Ramai masyarakat India dan Tionghua yang mendapat manfaat daripada kegiatannya. Beliau juga tidak mengamalkan sifat konfrontasi jika ada pihak yang mencela dirinya melainkan beliau memohon kemaafan atas sebarang salah silap dirinya.

Dakwahnya yang sebegitu menarik perhatian bukan sahaja orang Islam malah di kalangan orang bukan Islam sekalipun. Tambahan lagi beliau adalah berbangsa cina dan bukanlah orang Islam semenjak lahir tetapi cara beliau berpegang dengan Islam itu jauh martabatnya jika dibandingkan dengan sesetengah orang Melayu Islam.

Begitulah, Allah pertunjukkan kepada kita mengenai dua kisah yang berbeza untuk kita jadikan pedoman. Kedua-duanya mengandungi falsafah keluhuran undang-undang dan sifat perundangan yang tersirat iaitu betapa wujudnya satu peraturan alam yang ditetapkan oleh Allah kepada manusia seperti mana yang pernah disebut dalam surah Al-Kahfi.

Kisah itu adalah berkaitan dengan dua orang tuan punya kebun yang mana seorang itu insan yang bersyukur dan seorang lagi insan yang kufur. Oleh kerana, beliau kufur terhadap nikmat itu sehingga mendustakan kehebatan Allah maka dimusnahkan segala tanaman di dalam kebunnya.

Begitulah juga bumi Malaysia ini telah dikurniakan Allah dengan pelbagai nikmat sama ada tanaman dan hasil disebabkan wujudnya tanah yang subur, air hujan yang turun sepanjang tahun dan matahari yang bersinar.

Maka, dengan serangan wabak Covid-19 ini Allah telah menguji kita untuk melihat kita sama ada kita bersyukur dengan nikmat yang dianugerahinya. Namun, kita sedih kerana dalam episod duka Rohingya dan Ebit Lew itu masih menampakkan kesombongan masyarakat khasnya warganegara Melayu Islam yang lebih banyak berbangga dengan status kewarganegaraan lebih daripada prinsip agama Islam itu sendiri walhal Islam mengajar kita untuk membantu semua manusia atas sifat kemanusiaan.

Ramai orang Melayu Islam juga telah ditewaskan dengan akhlak dan sifat seorang cina Islam. Begitulah Allah menunjukkan kepada kita bahawa sesuatu bangsa tidak akan kekal jika tidak berpegang dengan prinsip Islam yang sebenar.

Prinsip inilah juga yang harus dipegang oleh pemimpin politik untuk tidak mengamalkan sikap berkhianat kepada mandat rakyat dan parti masing-masing. Ingatlah kerjasama yang berasaskan kuasa dan jawatan tidak akan kekal abadi. Kerjasama yang akan kekal perlu tulus dan ikhlas dan bukan kerjasama mencari peluang.

Kini, bunga-bunga korupsi yang pernah menjadi sejarah negara sehingga tercetusnya krisis kleptokrasi 1MDB nampak seperti mula subur kembali. Usaha kerajaan Pakatan Harapan untuk membaiki institusi negara nampaknya telah terhenti. Ibu segala ketirisan wang kerajaan adalah tiadanya ketelusan dalam pemerintahan.

Kita melihat satu persatu usaha membina negara oleh PH telah terhenti. Sehingga sekarang tiada nampak para menteri berhasrat untuk menyiarkan akuan sumpah berkaitan harta masing-masing.

Jawatan pula diagih-agihkan atas alasan lantikan politik tanpa langsung mengambil kira aspek profesionalisme. Kita masih menunggu sama ada kerajaan PN ini akan melupakan kaedah tender terbuka dan mengutamakan kaedah rundingan terus. Jika itu pun berlaku maka nantilah saat kehancuran negara ini.