Antara tiga klinik dan Pasir Gudang

Antara tiga klinik dan Pasir Gudang

Sememangnya masih tidak selesai isu yang membabitkan soal keselamatan dan kesihatan penduduk di Pasir Gudang.

Emosi, risau, bimbang dan pelbagai lagi perkara yang terbuku membabitkan keselamatan dan kesihatan pastinya akan disuarakan. Sejak Mac lalu hingga tercetusnya gelombang kali kedua akhir Jun, pencemaran alam sekitar masih tidak kunjung tamat.

Ia memberikan gambaran perjalanan yang sukar untuk diselesaikan oleh pihak kerajaan dan ini pastinya adalah suatu yang tidak diduga akan terjadi. Pada Mac lalu, isu alam sekitar ini mengejutkan pelbagai pihak sehingga menimbulkan panik di kalangan masyarakat di Johor.

Akibatnya, kredibiliti sebuah kerajaan dicabar dengan dugaan tudingan jari masyarakat terhadap kesedaran kerajaan berkenaan isu alam sekitar.

Sehingga 17 Julai lalu, masih berlaku lagi rekod murid sekolah yang pengsan akibat pencemaran serta masih juga berlaku murid yang dirawat di klinik dan hospital akibat pencemaran. Ternyata hal ini masih belum selesai sepenuhnya.

Antara perkara yang perlu diambil adalah sukatan pencemaran udara sepanjang 24 jam sehari bagi mengukur kualiti udara. Memang kita akui terdapat alat penyukat udara namun ia tidak memadai tanpa dipasang di sekitar tapak tumpuan kanak-kanak seperti taman permainan selain sekolah.

Selain itu, kualiti udara juga perlu dipantau di kawasan kilang yang berpotensi melakukan pencemaran seperti direkodkan terdapat 250 kilang yang beroperasi menggunakan bahan kimia.

Penguatkuasaan serta pemantauan dengan mewujudkan pasukan khas dari Jabatan Alam Sekitar untuk membuka pusat operasi di Pasir Gudang sebagai alternatif awal pengesanan tahap kualiti udara. Selain itu, pusat penyebaran maklumat juga perlu diwujudkan.

Alat penyukat kualiti udara

Pelbagai idea serta cadangan boleh didapatkan oleh kerajaan dalam usaha membantu menyelesaikan kebimbangan penduduk di Pasir Gudang. Selain itu, mengikut maklumat dari pelbagai pihak, mereka mengesyorkan agar Pasir Gudang disenaraikan sebagai kawasan ‘tidak sihat’.

Memang perkara itu agak perit untuk ditelan kerana pastinya harga hartanah di kawasan itu akan jatuh namun perkara yang lebih besar perlu difikirkan adalah soal kesihatan dan nyawa masyarakat di situ.

Tinjauan yang dibuat telah mendapatkan hasil agar kerajaan menggazetkan Pasir Gudang sebagai kawasan ‘tidak sihat’ peratusannya tinggi. Jika diukur sejak akhir 1980-an sewaktu pembinaan tapak industri di Pasir Gudang telah mendatangkan pelbagai persoalan berkaitan struktur rancangan kediaman yang berdekatan dengan industri akan mengundang bala dalam jangka masa panjang.

Hakikat umum di selatan Johor mengakui, lokasi seperti Pasir Gudang memang ‘tidak sihat’. Apatah lagi wujudnya kelulusan pembinaan tapak industri fasa kedua di Pasir Gudang yang tidak memikirkan soal jarak antara kediaman dan industri.

Penat

Hal ini memang memenatkan bagi sebuah kerajaan apatah lagi pada Mac lalu, isu pencemaran udara ini telah membuatkan bekas MB Johor, Datuk Osman Sapian dicabar sehingga pada April beliau meletakkan jawatan tersebut dan digantikan dengan Dr Sahruddin Jamal.

Akibat kepenatan beliau dalam satu pertemuan dengan masyarakat telah menyuarakan luahan hatinya dengan menyatakan ‘penat’ dengan penjawatan MB berbanding dengan tiga klinik yang dimilikinya. Ini adalah suatu perkara yang sekali gus merentap persepsi umum terhadap keupayaan dirinya.

Tidak sepatutnya beliau mengeluarkan kenyataan itu di hadapan umum walaupun perkara itu perit untuk dirinya. Seharusnya beliau memikirkan perkara ini lebih awal sebelum membuat keputusan menjadi MB tempoh hari bukan setelah atau selepas menjadi MB di negeri ini.

Pastinya cabaran menjadi pemimpin di mana-mana negeri atau negara wujud dan ia memerlukan komitmen yang tinggi kerana ia melibatkan amanah daripada masyarakat. Rasa kasih sayang terhadap masyarakat atau orang bawahan perlu diwujudkan bagi menyelesaikan segala permasalahan berbangkit.

Keluhan seperti ‘penat’ atau ‘letih’ tidak sepatutnya dijelaskan atau dipersembahkan apatah lagi dalam keadaan masyarakat atau rakyat sedang mengharapkan sesuatu mengenai nasib mereka di negeri ini.

Sahruddin harus matang dalam menilai penjawatannya walaupun beliau baharu dalam dunia politik namun hakikat menjadi kepimpinan bukan sekadar kelayakan akademik semata-mata malah ia turut membabitkan kelayakan dan persediaan mental serta fizikal.

Rasanya tidak perlu untuk ditulis berkenaan dengan asas seorang pemimpin tetapi apa yang pasti tindakan kenyataan Sahruddin tempoh hari telah mengguriskan hati ramai pihak. Tahap kematangan dan pengalaman sebagai seorang pemimpin amat diperlukan ketika ini.

Apa yang penting Sahruddin perlu memperbetulkan keadaan dengan memohon maaf atau sebaliknya bagi mengembalikan semula keyakinan masyarakat di negeri ini terhadap kepimpinan beliau.