Antara tiga parti Melayu menjelang PRU-15: Politik mana jadi pilihan?

Oleh KIM SYAZIE

Gendang pilihan raya umum sedang dipalu pelbagai pihak khasnya oleh Barisan Nasional (BN) yang berusaha untuk mendapatkan semula kepercayaan rakyat negara ini setelah hilang kuasa dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Melalui permainan politik yang licik, pemimpin Umno tamak untuk berkuasa semula di negara ini selepas dihumban oleh rakyat dalam PRU-14 lalu. Umno terdesak sehingga sanggup kembali berkuasa melalui pintu belakang dan tebuk atap.

Umat Melayu di Malaysia berada dalam dilema sekarang, siapa yang harus mereka pilih dalam PRU akan datang. Namun begitu, berbanding dengan pilihan raya sebelum ini, setiap parti telah membuktikan pencapaian masing-masing sebagai pemerintah lantas memudahkan orang Melayu membuat penilaian.

Orang Melayu di negara ini ada tiga pilihan parti utama, selain parti-parti kecil yang lain, yang menawarkan khidmat kepada mereka. Parti itu adalah Umno, Pas dan AMANAH yang menawarkan pendekatan politik masing-masing untuk memartabatkan umat Melayu dan rakyat keseluruhannya.

Umno guna politik ‘payungan’, Pas guna politik ‘kepung’ pengikut kononnya hanya Pas layak bawa Islam

Terbukti melalui track record yang ada, Umno adalah sebuah parti yang menggunakan pendekatan politik payungan (patronage) secara negatif yang melahirkan kronisme dan nepotisme untuk mereka kekal berkuasa.

Pihak-pihak yang berada di luar perlindungan organisasi Umno terpinggir. Manakala pemimpin mereka pula dengan cara patronage ini menikmati laba sebanyak mungkin dari kontrak kerajaan dan menawarkan politik wang kepada penyokong dan partinya.

Akibatnya pemimpin Umno sangat terdedah dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa dengan pendekatan politik sebegini rupa.

Pas pula menamakan diri mereka sebagai satu-satunya parti Islam yang tunggal.

Dengan dakwaan ini, pendekatan mereka adalah bersifat indoktrinasi yang mengepung pengikutnya dan melahirkan pembudayaan politik “hanya kami layak membawa Islam manakala yang lain tidak layak”. Ini telah memecah-belahkan umat Islam dan melahirkan budaya taksub dan kebencian.

Mana-mana pihak yang cuba berfikir di luar kotak pemikiran yang dibentuk oleh pemimpin mereka akan dipencilkan, dikafirkan dan dijatuhkan dengan pelbagai hukuman berat sehingga memisahkan mereka dari kelompok utama kepimpinan parti.

Kini retorik Pas tercabar apabila jawatan menteri agama berada dalam genggamannya.

Pemimpin Pas memang petah bercakap soal agama, namun terbukti mereka gagal dalam pelaksanaannya. Mereka gagal teruk dalam menjaga kebajikan dan keperluan rakyatnya sebagaimana yang boleh dilihat dalam pencapaian kerajaan Pas di Kelantan selepas lebih 30 tahun memerintah negeri itu.

AMANAH tampil berbeza

Berbanding dengan kedua-dua parti itu, AMANAH telah tampil dengan citra yang berbeza. Dengan slogan Rahmatan Lil ‘Alamin, AMANAH membawa imej sebagai sebuah parti progresif berteraskan Islam.

Islam yang bukan didoktrinkan tetapi panduan besar yang melahirkan pendekatan politik berasaskan idea, nilai dan wawasan untuk negara yang mahu meningkatkan kapasiti aqliyah yang tinggi dalam kalangan rakyat khususnya orang Melayu.

Untuk orang Melayu, AMANAH menawarkan bangsa yang bermaruah, bukan bangsa yang korup dan membabi-buta supaya mereka dibebaskan dari cengkaman kepimpinan yang menunggangi Melayu dan Islam untuk habuan dan laba kelompok masing-masing.

Untuk Malaysia, AMANAH menawarkan kepimpinan yang progresif dan melalui contoh Melayu bermaruah dapat menyatukan semua bangsa supaya Malaysia makmur dan aman damai menghadapi masa depan yang mencabar.

Kami telah buktikan perkara ini ketika menjadi kerajaan selama 22 bulan sebelum dijatuhkan melalui pintu belakang selepas dimomok-momokkan dengan cerita perkauman dan kononnya Islam terancam oleh Umno dan Pas.

Dalam masa yang singkat, kami telah buktikan dengan kejayaan menyelamat dan membetulkan operasi Tabung Haji, memperbetulkan sistem royalti minyak untuk Kelantan yang kini dibatalkan kembali, membuktikan dakwaan dunia terhadap Datuk Seri Najib Razak dalam skandal 1MDB adalah betul dan pelbagai kejayaan besar lagi.

Demi masa depan yang lebih baik untuk rakyat dan umat Islam khususnya, saya bersedia untuk berdebat dan mempertahankan Melayu Bermaruah sebagai jalan ke hadapan.