Malaysia Dateline

Antara ‘wayang’ Steven Sim dan opera ‘Islam terancam’

“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (Maksud Surah al-Mumtahanah: Ayat 8-9)

Sengaja isu ini tidak diulas ketika ianya sedang hangat diperkatakan umum. Tujuannya supaya kita tidak terlalu emosi untuk menilai sesuatu isu ketika ia sedang hangat dibincangkan sehingga boleh mengaburkan rasional akal apatah lagi ketika berada di bulan mulia, bulan Ramadan.

Tentu kita masih ingat tulisan mengundang kontroversi seorang pensyarah universiti awam terhadap satu hantaran (posting) Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim di media sosial. Ahli Parlimen muda DAP itu memuatkan kisahnya membantu seorang pemuda asal Kelantan yang berbasikal sebagai penghantar makanan.

Pemuda itu, seperti dikisahkan Steven bekerja sebagai penghantar makanan ekoran pendapatannya daripada pekerjaan hakikinya tidak mencukupi untuknya menyara diri dan keluarga di kampung. Kegigihan pemuda yang punya kelulusan itu menarik hati Steven untuk membantu apatah lagi ia berlaku di kawasan parlimen yang diwakilinya. Maka dia membelikan sebuah motorsikal, helmet, sedikit wang dan mempelawa pemuda itu untuk berbuka puasa bersamanya.

Sikap prihatin Steven menarik perhatian netizen dan ramai memuji tindakannya itu. Namun, seorang pensyarah sains politik sebuah universiti awam di utara Semenanjung tidak menyukainya. Beliau menganggap bantuan yang diberikan Steven sebagai ‘wayang’ dan punya agenda tersembunyi, kerana Steven seorang Kristian. Malah si pensyarah kanan menasihati masyarakat Islam supaya berhati-hati menerima bantuan daripada ‘mubaligh Kristian’.

Isu ini berlarutan apabila si pensyarah menawarkan ganjaran RM2,000 kepada sesiapa yang punyai maklumat tentang pemuda itu; dari nombor telefon, alamat tempat tinggal, alamat tempat kerja. Nama dan lain-lain maklumat peribadi si pemuda itu memang tidak disiarkan Steven atas permintaan beliau.

Ekoran kesal dengan sikap keterlaluan pensyarah itu, Steven terpaksa mendedahkan maklumat pemuda tersebut dan mengambil tindakan undang-undang.

Tidak terganggu dengan tindakan saman difailkan Steven, pensyarah yang sama terus menyerang ahli parlimen DAP itu. Kali ini membabitkan program Steven dengan Raja Muda Perlis.

Dalam hantaran bertajuk “Wayang Opera Cina DAP sekali lagi?” beliau mendakwa program itu satu pembohongan dan Steven sebenarnya tidak berkayuh bersama Raja Muda Perlis.

“Sebelum ini wayang tentang pembelian motosikal yang tak wujud. Sekarang wayang kononnya berbasikal dengan Raja Muda Perlis,” tulis pensyarah itu di laman Facebooknya. Tulisan itu kemudiannya dipadam setelah mendapat kritikan hebat netizen dan si pensyarah mendakwa akaunnya telah digodam.

Begitulah sekelumit kisah membabitkan seorang pensyarah universiti awam di negara ini. Apa yang membimbangkan, beliau bukanlah satu-satunya pensyarah yang berfikiran begitu.

Terdapat ramai lagi pensyarah khususnya dalam bidang sains politik yang begitu ketara permusuhannya dengan parti-parti pembangkang khususnya DAP. Sedangkan sebagai pensyarah atau mahaguru di universiti awam, mereka perlulah menilai sesuatu isu secara objektif dan tidak dibuai sentimen melulu.

Tatkala leka dengan ‘wayang’ membabitkan Steven Sim, elok juga kita menghimbau kembali opera ‘Islam terancam’ yang dahulunya hebat dicanangkan pihak-pihak tertentu. Tema ‘Islam terancam’ ini nampaknya semakin reda dan sunyi sepi setelah berlaku perubahan kerajaan secara tidak demokratik Mac tahun lalu.

Opera ‘Islam terancam’ itu sebenarnya lebih hebat dicanangkan berbanding ‘wayang Steven Sim’ kerana ia bukan sahaja berlegar di media sosial, malah di mimbar masjid dan kuliah pengajian.

Isu-isu berkaitan arak, judi, pemandu mabuk, menghina Islam, LGBT, aset Tabung Haji, kematian anggota bomba, Mohd Adib Mohd Kasim dan sebagainya ‘dioperakan’ semahu mungkin bagi memburuk-burukkan kerajaan. Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam dikecam saban hari walaupun atas isu remeh yang tak sepatutnya terbeban di bahu beliau.

Kini setelah setahun kerajaan bertukar tangan, industri arak dan judi semakin subur, pemandu mabuk terus wujud, pembunuh Adib masih gagal dicari dan isu-isu sensitif menyentuh Islam sebagai agama persekutuan terus berlaku. Yang berbeza, hingar bingar dan permainan opera ‘Islam terancam’ sudah tidak lagi kedengaran.

Watak-watak utama opera ‘Islam terancam’ ini terus bungkam ketika berjudi dijadikan tema iklan raya, gadis Melayu-Islam berkahwin mengikut adat Sikh, transgender mengancam untuk murtad dan kalimah Allah boleh digunakan penganut Kristian.

Tidak boleh kita bayangkan apa yang terjadi jika isu-isu ini berlaku di era pentadbiran PH.

Begitulah yang terjadi apabila Islam hanya dijadikan modal untuk tujuan politik. Sentimen agama dan bangsa dikocak untuk meraih pengaruh, dan sifat Islam sebagai agama rahmah dirosakkan oleh penganutnya sendiri.

Moga kita sama-sama mendapat pengajaran berguna daripada episod yang berlaku dalam ‘negara gagal’ ini.

Elok kiranya kita menelusuri petikan-petikan daripada siri Bayan Linnas, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan sebagai panduan bagi memahami hubungan antara Islam dan bukan Islam khususnya dalam bab memberi dan menerima bantuan:

Mendoakan kebaikan untuk non Muslim seperti mendapat kesejahteraan kesihatan, anak, harta adalah dibolehkan selagi mana non Muslim tersebut bukan dari kalangan mereka yang bermusuh dengan Islam.

Ibn Kathir berkata: Maksudnya, Allah SWT tidak melarang kamu berbuat baik kepada orang-orang kafir yang tidak memerangi kamu kerana agama, seperti kaum wanita dan orang-orang yang lemah di antara mereka. Allah hanya melarang kamu bersahabat dengan orang-orang yang telah melancarkan permusuhan terhadap kamu, kemudian mereka memerangi dan mengusir kamu dan membantu mengusir kamu. (Lihat Tafsir al-Qur’an al-Azim, 8/135)

Pada asasnya, Nabi s.a.w. menyuruh agar kita membalas kepada pelaku kebaikan dengan ucapan yang baik. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Usamah bin Zaid r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda:

Maksudnya: “Sesiapa yang dilakukan padanya kebaikan, lalu dia berkata kepada orang tersebut: ‘Jazakallah khairan’ (semoga Allah membalasmu dengan kebaikan), maka sesungguhnya dia telah benar-benar meninggikan pujian.” (Riwayat al-Nasa’ie (9937) dan al-Tirmizi (2035))

Imam al-Munawi berkata: Doa yang disebutkan di dalam hadis di atas hanya untuk seorang Muslim. Adapun sekiranya jika seorang kafir berbuat kebaikan kepada seorang Muslim, maka doakanlah agar dia mendapat harta, anak, kesihatan dan ‘afiyah. (Lihat Faidh al-Qadir oleh al-Munawi, 1/526)

Kami juga berpendapat, alangkah baiknya kita berdoa agar ditaufikkannya oleh Allah serta ditunjukkan jalan yang terbaik dalam kehidupan kerana ini termasuk dalam uslub dakwah yang penuh dengan hikmah dan kasih sayang. (Bayan Linnas siri ke-156: Doa Bersama Dengan Bukan Islam Dalam Satu Majlis)