Malaysia Dateline

Anthony Loke bekalkan tandas bergerak untuk petugas sekatan jalanraya

Anggota polis dan tentera yang terlibat membuat sekatan jalan raya di sekitar bandar Seremban berasa lega dalam melaksanakan tugas mereka apabila Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke membekalkan mereka tandas bergerak.

Dalam Facebooknya semalam, bekas Menteri Pengangkutan itu berkata, beliau dimaklumkan bahawa ada kekurangan tandas bergerak di beberapa lokasi sekatan jalan di Daerah Seremban.

“Saya terus menghubungi seorang kawan yang buat perniagaan event management dan mendapat contact seorang pembekal.

“Kadar sewa yang dikenakan amat berpatutan.

“Pagi tadi pembekal tersebut telah menghantar 9 unit tandas bergerak ke 9 lokasi road block di sekitar Seremban,” kata beliau.

Kata Anthony, keperluan asas untuk anggota polis dan tentera yang terlibat mesti dijaga.

“Saya tak dapat berkhidmat di front line. Harap sedikit sokongan ini memberi semangat kepada front liners kita,” kata beliau.