Anthony Loke ganti Kit Siang jadi Ketua Parlimen DAP

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke, dilantik menjadi Ketua Parlimen DAP baharu bagi penggal ke-14 Dewan Rakyat menggantikan tokoh veteran DAP, Lim Kit Siang.

Kit Siang dalam kenyataannya berkata, beliau akan menjadi penyokong kerajaan buat pertama kali sejak dipilih sebagai Ahli Parlimen Kota Melaka pada 1969.

“Jawatankuasa Tertinggi Pusat sudah membuat keputusan bahawa Ketua Parlimen DAP penggal ke-14 ialah Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke.

“Saya akan menjadi penyokong kerajaan di Parlimen buat pertama kali sejak dipilih sebagai Ahli Parlimen Kota Melaka pada 1969,” katanya dipetik dari portal rasmi DAP.

Loke, 41, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chennah dan Ahli Parlimen Seremban memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Pembangunan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Menurut Kit Siang, pelantikan Menteri Pengangkutan berkenaan dibuat memandangkan Pengerusi DAP Negeri Sembilan itu adalah salah seorang pemimpin kanan parti.

Beliau pada masa yang sama, turut mengumumkan DAP akan memberi tumpuan kepada Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perlis sebagai negeri ‘barisan hadapan’ dalam pengukuhan perpaduan, keadilan, kebebasan dan demokrasi di Malaysia.

“Objektif Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perlis sebagai negeri ‘barisan hadapan’ ialah untuk memastikan empat negeri ini akan ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH) seiring dengan kerajaan PH peringkat Persekutuan.

“Usaha ini juga akan dicapai melalui kerjasama erat dengan parti komponen PH yang lain,” kata Kit Siang lagi.

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
1 user vote x 10.0
CATEGORIES
TAGS