Malaysia Dateline

Anthony Loke Siew Fook

Anthony Loke mahu kerajaan perjelas isu rakyat Malaysia bekerja di Singapura

Majlis Setiausaha Pakatan Harapan hari ini menggesa kerajaan menjelaskan kedudukan sebenar rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura selepas pengumuman Perdana Menteri yang menyekat keseluruhan perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke berkata, perkara itu menjadi persoalan oleh kerana ia membabitkan sehingga 300,000 rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura.

Malah katanya, reaksi kerajaan Singapura hari ini memberi gambaran bahawa kerajaan Malaysia belum membuat sebarang perbincangan bersama dalam memutuskan perkara berkenaan.

“Ini beri impak besar kepada rakyat Malaysia yang bekerja ke Singapura kerana dianggarkan setiap hari ada 300,000 rakyat Johor berulang alik dan bekerja di sana.

“Reaksi kerajaan Singapura menunjukkan Malaysia belum membuat apa-apa perbincangan dari segi persediaan logistik sama ada negara itu akan menyediakan penginapan kepada rakyat Malaysia yang bekerja di sana.

“Paling penting, adakah kerajaan sudah berunding dengan Singapura tentang jaminan pekerjaan mereka? Sekiranya pekerja-pekerja ini tidak dapat bekerja dalam tempoh 14 hari, adakah mereka tidak akan dibuang kerja?” katanya dalam sidang media mesyuarat PH hari ini.

Beliau berkata, kerajaan bertanggungjawab memberi penjelasan penuh dengan kadar segera ekoran sempadan negara akan mula ditutup tengah malam ini.

Pada masa sama, beliau yang juga mantan Menteri Pengangkutan turut membangkitkan kelangsungan industri penerbangan terutama penerbangan antarabangsa.

Anthony berkata, adakah sekatan akan dikenakan untuk rakyat Malaysia yang bergerak dalam negara iaitu dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak.

Katanya, larangan yang dikeluarkan semalam bakal memberikan impak besar kepada sektor penerbangan oleh kerana sejak dua bulan lalu, mereka sudah mengalami penurunan hasil perolehan yang ketara.

Justeru, beliau meminta penjelasan dan pendekatan kerajaan dalam menangani perkara berkenaan sekali gus membantu memberi bantuan yang sewajarnya.

“Perlu ada persiapan dan penjelasan dari kerajaan. Kita amat mengharapkan perancangan dan tindakan yang mengambil kira keseluruhan aspek.

“Walaupun langkah drastik perlu diambil, tapi banyak persoalan tak terjawab dari Perdana Menteri semalam. Kita harap kerajaan beri penjelasan sebaiknya dalam tempoh terdekat,” ujarnya.