Anthony Loke, Mohd Azharuddin wajar dipecat, kata wakil pemandu Teksi

Anthony Loke, Mohd Azharuddin wajar dipecat, kata wakil pemandu Teksi

Datuk Shamsubahrin Ismail

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Mohd Azharuddin Mat Sah, wajar dipecat kerana didakwa gagal menyelesaikan isu e-hailing Grab sehingga menimbulkan kemarahan pemandu teksi.

Wakil pemandu teksi Malaysia, Datuk Shamsubahrin Ismail, berkata Tun Dr Mahathir Mohamad wajar memecat kedua-dua individu itu berikutan gagal mematuhi arahan Perdana Menteri supaya isu perkhidmatan e-hailing diselesaikan.

“Dalam sesi dialog dengan pemandu teksi di Langkawi semalam, Dr Mahathir mengakui beliau sudah mengarahkan Loke mewujudkan peraturan pemandu Grab baharu seperti dicadangkan, tetapi sebarang tiada tindakan diambil.

“Jika pelaksanaan baharu ini gagal dilakukan dalam tempoh terdekat, saya akan mengadakan perhimpunan aman yang disertai kira-kira 3,000 pemandu teksi dari seluruh negara.

“Perhimpunan aman akan diadakan Rabu ini pada jam 9 pagi di Padang Merbok, bermula di bangunan APAD dan kami menuntut ketua pegawai eksekutifnya turun berjumpa kami.

“Selepas itu, kami akan ke Parlimen untuk Loke berjumpa kami secara aman,” katanya pada sidang media semalam, lapor BHonline.

Semalam, kekecohan kecil dilakukan kira-kira 10 pemandu teksi pada majlis dialog bersama Dr Mahathir di Langkawi.

Ia dipercayai susulan rasa kurang senang mereka atas penjelasan Perdana Menteri bahawa Grab tidak akan dihapuskan.