Malaysia Dateline

Anthony Loke mungkir janji, lindungi kepentingan syarikat aplikasi e-hailing

Yang Dipertua Gabungan Teksi SeMalaysia (GTSM), Kamarudin Mohd Hussain menyifatkan Menteri Pengangkutan (MOT) Anthony Loke telah memungkiri janji beliau dalam melaksanakan peraturan e-hailing.

Kamarudin berkata, tindakan Loke yang membenarkan pemandu e-hailing (tanpa dokumen lengkap) beroperasi selama tiga bulan lagi jelas membuktikan Ahli Parlimen Seremban itu tidak menepati janjinya.

Beliau berkata, tindakan yang dilakukan Loke adalah satu pusingan semula (u-turn) untuk melindungi kepentingan syarikat aplikasi, khususnya Grab dan bertentangan dengan prinsip Rule of Law.

“Sebelum ini beliau telah memberi masa selama satu tahun kepada pemandu-pemandu kereta sapu e-hailing mematuhi peraturan, tetapi sehingga ke hari ini, hampir 85 peratus pemandu tersebut tidak mahu mematuhi peraturan dan terbaru beliau memberi masa selama tiga bulan lagi.

“Persoalannya, adakah beliau yakin semua pemandu terbabit akan menggunakan lanjutan masa tersebut untuk melengkapkan diri? atau mereka akan tetap tidak mematuhi peraturan seperti yang belaku dalam tempoh satu tahun ini?

“Kami kesal dengan keputusan beliau yang menangguh atau lebih tepat lagi membuat u-turn terhadap pelaksanaan peraturan e-hailing yang sepatutnya dilaksanakan semalam,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam isu ini, Kamarudin secara peribadi berpendapat, Pengerusi DAP Negeri Sembilan itu perlu berehat daripada memimpin kementeriannya kerana tidak layak memegang jawatan nombor satu di MOT.

“Beliau bukan sahaja mengamalkan sikap bodoh sombong dengan menggunapakai rancangan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), malah beliau seorang manusia yang tidak mempunyai nilai insan, sebab itu beliau tidak merasai keperitan dan penderitaan puluhan ribu warga teksi.

“Kami akan adakan satu perbincangan di peringkat Ahli Jawatankuasa (AJK) dalam waktu terdekat untuk merencana tindakan selanjutnya,” katanya lagi.