Malaysia Dateline

Anthony persoal pemecatan dua ahli lembaga penerbangan awam

Pemecatan dua ahli Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) yang dilantik semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) mendapat perhatian bekas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Katanya, beliau memahami bahawa adalah hak mutlak menteri untuk melantik atau membuang mana-mana ahli lembaga badan berkanun di bawah kementerian tersebut.

Namun soalnya, tidakkah mereka dapat membezakan antara lantikan profesional dan lantikan politik oleh kerana kedua-dua ahli lembaga berkenaan bukanlah dari mana-mana parti politik.

“Untuk rekod, saya tidak pernah membuang mana-mana profesional atau bukan ahli politik yang dilantik ketika pentadbiran terdahulu.

“Saya biarkan mereka berkhidmat sehingga tamat tempoh mereka.

“Adakah permintaan kita keterlaluan agar kementerian mempunyai beberapa minda bebas dan suara kritikal dalam struktur kerajaan?,” soalnya lagi dalam satu muatnaik status di Facebook.

Pada masa sama, Anthony berkata, dua ahli Lambaga yang dibuang itu ialah Afzal Abdul Rahim dan Ragunath Kesavan di mana kedua-duanya adalah profesional dan bukan ahli politik yang berkaitan dengan Pakatan Harapan.

Katanya, Afzal adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TIME dotCom, Ahli Lembaga Bebas Kumpulan CIMB dan Juruterbang berlesen Komersial FAA.

“Dia seorang kritikal terhadap kecekapan CAAM tetapi sangat bersemangat tentang isu berkaitan penerbangan.

“Saya kemudiannya menjemput beliau untuk menyertai lembaga CAAM untuk bertukar kritikannya dengan cadangan yang membina demi memperbaiki CAAM,” ujarnya.

Anthony turut menceritakan bagaimana Afzal bersedia melakukan perkhidmatan negara dan berkhidmat secara pro bono. Malah, jelasnya, Afzal menolak untuk menerima apa-apa elaun daripada CAAM.

Pada masa sama, ketika lembaga tersebut memerlukan seseorang yang mempunyai latar belakang undang-undang yang kuat, beliau melantik bekas Pengerusi Majlis Peguam, Ragunath yang ketika itu merupakan pengkritik kuat kerajaan PH ketika itu.

“Mungkin. Inilah apa yang diperkatakan Tan Sri Muhyiddin Yassin, bahawa ‘ini bukanlah kerajaan yang kamu pilih’,” sindirnya.