Anuar akui  Ahli Parlimen Umno dilamar sertai Bersatu

Anuar akui Ahli Parlimen Umno dilamar sertai Bersatu

Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa tidak menafikan memang terdapat dalam kalangan Ahli Parlimen dari Umno yang dilamar untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Setiausaha Agung Umno itu juga berkata, ramai ahli Parlimen Umno yang dilamar, secara terus dan ada juga yang dilamar melalui individu perantaraan dengan tujuan untuk memperkuatkan Bersatu.

“Ada pihak yang memikirkan untuk memperkuatkan Bersatu, memang ada ahli Parlimen Umno yang dilamar dan panggil untuk berunding, yang tidak panggil tetapi pergi juga ada.

“Kita bukan tidak mempertimbankan perkara itu kerana kita faham Bersatu terlalu lemah dengan hanya ada 13 kerusi dan parti itu juga boleh tidak stabil. Tapi Umno juga ada tanggungjawab yang lebih besar misalnya kita dipilih sebagai wakil rakyat kita menang dengan logo BN selain tanggungjawab kepada rakyat dan di akhirat kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Baru-baru ini Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk A. Kadir Jasin mendakwa kira-kira 40 Ahli Parlimen daripada Umno dikatakan akan keluar parti dan menyertai Bersatu – Utusanonline.

COMMENTS

Wordpress (0)