Anugerah Brandlaureate: PH serah bukti, gesa SPRM siasat MB Perak

Anugerah Brandlaureate: PH serah bukti, gesa SPRM siasat MB Perak

Pakatan Harapan (PH) Negeri Perak hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan pembayaran oleh Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) dalam isu anugerah Ikon Brandlaureate yang diterima Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Pengerusi AMANAH Perak Asmuni Awi berkata, dalam pertemuan kira-kira satu jam setengah dengan pihak SPRM, pihaknya turut menyerahkan segala bukti pembayaran bagi membantu SPRM membuat siasatan.

“Saya meminta SPRM membuat penyiasatan secara menyeluruh sama ada terdapat unsur penyalahgunaan kuasa dari pihak MB inc sendiri di mana Zambry sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah.

“Ada dua aspek yang perlu dilihat, yang pertama unsur penyalahgunaan kuasa kalau ada, yang kedua bidang kuasa yang ada pada MB Inc sendiri sama ada mereka ada bidang kuasa di bawah Enakmen Menteri Besar Negeri Perak untuk membuat pembayaran itu.

Asmuni bercakap kepada media selepas menyerahkan laporan dan bukti kepada pihak SPRM

“Saya telah serahkan dokumen yang berkaitan bagi membolehkan SPRM mengambil tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita di luar pejabat SPRM di Persiaran Meru Utama, Bandar Meru Raya.

Turut bersama ialah Naib Ketua Dapsy Perak Steven Chaw Kam Foon, Setiausaha AMANAH Perak Salman Salleh dan Setiausaha Politik kepada Asmuni, Safarizal Salleh.

Menurut Asmuni, laporan itu dibuat selepas tiada sebarang penafian yang meyakinkan daripada pihak MB Inc khususnya Zambry sendiri.

“Saya meminta pihak SPRM membuat siasatan secara telus dan saya nyatakan sampai hari ini saya belum menerima surat saman atau apa-apa notis dari peguam.

“Saya menanti dan bersedia menerima surat saman daripada mana-mana pihak yang mengatakan nak saman saya. Silakan,” katanya.

Pada 24 Oktober lalu, Asmuni mendakwa pemberian anugerah The BrandLaureate Nation Building Brand ICON Leadership Award-Game Changer Icon yang diberikan kepada Zambry pada Ogos lalu, dibayar oleh MB Inc.

Asmuni mendakwa MB Inc membuat pembayaran berjumlah RM381,113.86 bagi membolehkan Zambry menerima anugerah berkenaan.

Presiden BrandLaureate, Dr KK Johan bagaimanapun berkata, pemberian anugerah itu adalah semata-mata berasaskan kepada pencapaian yang ditunjukkan Zambry sebagai pemimpin negeri dan sumbangannya terhadap pertumbuhan serta pembangunan Perak dan Malaysia.

9.8
OVERALL SCORE
: 9.0
3 user votes x 10.0
CATEGORIES
TAGS