Anwar ada hak suruh Azmin letak jawatan

Anwar ada hak suruh Azmin letak jawatan

Penasihat Media dan Komunikasi Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin berkata Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhak membuat kenyataan supaya timbalan presidennya, Mohamed Azmin Ali meletak jawatan atau bercuti sementara.

Difahamkan, saranan untuk bercuti sementara susulan penyebaran video seks sejenis yang menyasarkan Menteri Kanan Kabinet itu yang tular sejak sebulan lalu.

Hal ini kerana katanya, Anwar sebagai ketua parti boleh menyuarakan pandangannya kerana itu adalah perkara yang sepatutnya dilakukan oleh seorang pemimpin.

“Sebagai ketua parti dia perlu buat pendirian. Apabila orang buat pendapat umum, dia (Anwar) mesti ambil tindakan.

“Beliau perlu nyatakan pendiriannya sebagai ketua parti,” katanya selepas majlis Diskusi Buku bertajuk Anwar PM Ke 8, Janji Serah Kuasa Yang Mesti Ditepati di Vista Alam Seksyen 14, Shah Alam, semalam.

Hadir sama, Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL), Prof Datuk Dr Mahammad Redzuan Othman dan bekas Presiden Transperancy International Malaysia (TI-M) Datuk Seri Akhbar Satar.

Anwar dalam satu sidang akhbar di lobi Parlimen semalam berkata, sekiranya video intim yang tersebar itu sahih, Azmin perlu meletakkan jawatannya.

“Pada awalnya saya katakan Azmin tidak perlu bercuti kerana ia peluru tembakan rambang. Sekarang ini Perdana Menteri sudah beri kenyataan baharu bahawa terpulang kepada Azmin sendiri.

“Sekiranya video tersebut sahih, maka sepatutnya dia meletakkan jawatannya, tetapi kita masih tidak dapat pengesahan. Kalau tidak sahih, saya tidak fikir Azmin patut meletak jawatan, bergantung kepada hasil siasatan,” katanya.