Malaysia Dateline

Anwar ada sokongan yang cukup, kata orang kanan Najib

Exco Pemuda Umno, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo mengakui menerima maklumat bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim sememangnya sudah mempunyai sokongan daripada majoriti ahli Parlimen.

Menerusi sedutan video berdurasi 37 saat yang disebarkan di media sosial, orang kanan Najib itu mendakwa senarai sokongan ahli Parlimen termasuklah dalam kalangan penyokong Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sendiri.

Katanya, mereka yang melompat keluar dari PKR sudah mula kembali kepada Anwar Ibrahim.

“Anwar Ibrahim sudah mempunyai sokongan daripada majoriti ahli Parlimen. Ini info yang saya dapat cuma saya tak tahu berapa banyak dan berapa angka.

“Daripada apa yang dimaklumkan, memang Anwar ada angka. Termasuklah mereka sebelum ini bersama Azmin yang lompat daripada PKR, sudah kembali pada Anwar Ibrahim,” katanya.

Terdahulu, timbul desas desus yang mendakwa beberapa penyokong Azmin Ali menukar kem selepas disisihkan dalam beberapa Bersatu bahagian dan negeri.

Mereka dikatakan mula mencari jalan menyokong kembali Presiden mereka, Anwar sebagai Perdana Menteri.