Malaysia Dateline

Anwar akan bawa isu kesihatan mental petugas kesihatan ke Parlimen

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengetengahkan isu kesihatan mental petugas kesihatan di dalam sidang Parlimen minggu depan.

Beliau berkata, banyak laporan mengenai luahan para petugas kesihatan yang mengalami tekanan dan gangguan emosi sepanjang bertugas memerangi wabak Covid-19.

Justeru katanya, ada keperluan untuk kerajaan mempunyai pendekatan memerangi Covid-19 tidak hanya dalam strategi mengawal penularan, tetapi juga tentanf tahap emosi dan kesihatan mental para petugas kesihatan.

“Ini harus diambil kira oleh Menteri Kesihatan yang baharu.

“Kerajaan mesti memberi fokus aspek pengurusan, persekitaran kerja, keperluan asas, penjagaan kesihatan dan keselamatan kakitangan yang bertugas di mana-mana fasiliti kesihatan dengan lebih berkesan.

“Justeru, isu kesihatan mental petugas kesihatan ini perlu menjadi perkara utama yang akan disentuh kelak sewaktu sidang Parlimen minggu depan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama Anwar menegaskan, pengorbanan petugas barisan hadapan yang bekerja tanpa henti wajar mendapat pembelaan dan perhatian.