Malaysia Dateline

Anwar akan selesaikan isu projek tebatan banjir hari ini

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan, soal peruntukan untuk tabatan banjir yang digantung baru-baru ini akan dikaji oleh beliau hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika berucap di depan para ulama dan asatizah dalam pertemuan beliau dengan mereka semalam.

“Insya Allah esok (hari ini Isnin 12 Disember) sebagai Menteri Kewangan saya akan kaji dan selesaikan,” kata Anwar.

Beliau mengesahkan, peruntukan untuk tebatan banjir ini memang diluluskan tetapi belum dilaksanakan.

“Ia disahkan pada hari pertama saya di Kementerian Kewangan, pegawai-pegawai mengesahkan ye ia telah diluluskan tetapi belum dilaksanakan,” kata beliau.

Menurut Anwar, projek tebatan banjir sangat penting bagi beliau kerana banjir ini menyeksa rakyat dan mangsa utamanya adalah orang miskin.

“Dan majoriti yang miskin itu Melayu. Sebab itu bila kita hendak belanjakan kita mesti teliti.

“Ini soal governance, ini yang dilakukan oleh Umar Abdul Aziz (Khalifah Islam). Soal dia zuhud, dia solat malam, itu ye.

“Tetapi mengurus negara itu seharusnya dengan ketertiban dan peraturan yang betul,” kata Anwar.

Pada 6 Disember lepas, Anwar mengarahkan kelulusan mutakhir projek tebatan banjir berjumlah RM7 bilion daripada keseluruhan peruntukan sebanyak RM15 bilion yang dilaksanakan melalui rundingan terus tanpa proses tender diteliti semula.

Beliau berkata kelulusan peruntukan itu akan diteliti semula supaya terdapat prinsip ketelusan dan mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Jumlah ini bukan kecil…atas alasan umpamanya membantu menyegerakan langkah tebatan banjir tetapi ada masalah apabila peraturan tidak dipatuhi dan ada upaya mencari kesempatan.

“Ini amat dikesalkan dan saya berterima kasih kerana pegawai kanan Kementerian (Kewangan) bersama dan tidak selari dengan maksud ini, tetapi pada ketika itu (hanya) mengikut arahan,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi taklimat sejurus memulakan tugas secara rasmi sebagai Menteri Kewangan di Kementerian Kewangan (MOF) di Putrajaya.

BACA JUGA ‘Saya minta mereka dipecat serta-merta’ – Anwar ulangi tiada tolak ansur kalau menteri rasuah