Malaysia Dateline

Anwar akan tanding Presiden PKR

Penasihat Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan hari ini menawarkan diri untuk bertanding bagi jawatan Presiden PKR pada November 2018 nanti.

Jelas beliau, mutakhir ini terdapat beberapa pandangan mengenai keperluan untuk beliau turun ke gelanggang mengemudi PKR selaku Presiden menggantikan Azizah.

“Saya mengamati setiap pandangan yang dilontar dengan penuh teliti.

“Sayugia diingatkan, sejak Pemilihan PKR tahun 2007 saya telah diminta untuk memimpin PKR selaku Presiden. Namun, sekatan-sekatan yang dikenakan oleh Pendaftar Pertubuhan pada ketika itu ternyata menjadi kendala, malah lebih parah lagi membawa implikasi pembubaran parti.

“Demi maslahah lebih besar, saya memilih untuk berundur sementara Azizah kekal selaku Presiden PKR.

“Maka wajar kita melihat ke belakang sebagai pedoman ke hadapan, Azizah mengemudi PKR selaku Presiden usai tahun 1999 dengan pelbagai cabaran, mehnah dan tribulasi,” kata beliau dalam kenyataan itu.

Tambahnya, namun iktikad Presiden, Timbalan Presiden, pimpinan dan akar umbi, ditambah keazaman rakyat menyaksikan kita mendobrak sejarah memimpin Pakatan Rakyat (ketika itu) bersama Azizah menafi dua pertiga Umno-BN pada PRU Ke-12.

“Meraih undi popular mencecah 51% pada PRU Ke-13, dan melangkah gagah ke Putrajaya dengan menjadi parti komponen terbesar di Parlimen melalui muafakat Pakatan Harapan tanggal 9 Mei yang lepas.

“Justeru setelah berbincang dengan Azizah, Timbalan Presiden, dan kempimpinan, serta mengambilkira segenap pandangan dan keperluan demi kelangsungan PKR, dengan penuh kesedaran atas prinsip iltizam bil jamaah, saya menawar diri untuk bertanding jawatan Presiden PKR.

InshaaAllah sekiranya mandat diperoleh dari akar umbi parti seluruh negara, saya akan mengemudi parti selaku Presiden selepas selesai Kongres Nasional PKR pada November 2018,” katanya lagi.