Malaysia Dateline

Anwar anggap kerajaan PN tidak boleh digantung harap

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada masa ini tidak membantu rakyat yang masih terhimpit dengan dampak wabak Covid-19.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, ramai mengeluh berkenaan isu moratorium pinjaman sewa beli kenderaan yang didapati hanya janji dan harapan palsu oleh kerajaan PN.

“Saya mendapati moratorium pinjaman sewa beli kenderaan ini datang bersama kos yang lebih besar dan menambah beban rakyat.

“Pelbagai syarat yang dikenakan juga terus merumitkan keadaan, dan ini tidak membantu rakyat di bawah yang saat ini masih terhimpit dengan dampak wabak Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Presiden PKR itu berkata, kerajaan yang kononnya peduli dan prihatin terhadap nasib rakyat susah tidak wajar mengambil mudah hal tersebut.

“Saya menggesa kerajaan dan Menteri Kewangan untuk membetulkan perkara ini sesegera mungkin,” tegas Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.

Dalam masa sama, Anwar menggesa kerajaan menjelaskan dengan lebih terperinci jumlah sebenar yang terpaksa ditanggung kerajaan Malaysia dan para pembayar cukai akibat pembatalan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).

“Justeru segala pernyataan yang dibuat Menteri Kewangan semasa penggulungan Belanjawan 2021 baru-baru ini sukar dipercayai terutamanya berhubung soal pengeluaran akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), moratorium dan juga projek mega HSR.

“Jika benar seperti yang dilaporkan, ini secara tidak langsung telah mendedahkan lagi kelemahan kerajaan PN dalam membuat sebarang keputusan besar buat negara dan rakyat,” katanya.

Beliau menyifatkan ketidakstabilan dan goyahnya kerajaan hari ini memberi imej dan reputasi yang buruk kepada negara.

Selain itu, jelasnya, negara-negara luar tidak berkeyakinan untuk mengadakan rundingan atau untuk mencapai sebarang persetujuan dengan Malaysia.

“Ia memberi petunjuk bahawa kerajaan yang ada pada hari ini adalah kerajaan yang tidak boleh digantung harap.

“Perkembangan ini memburukkan keadaan tatkala negara dan rakyat masih bergelut dengan situasi ekonomi pandemik saat ini,” tambah Anwar lagi.